KETUA Jurulatih dan Pengurus Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari menjangkakan perlawanan yang sukar buat pasukannya pada aksi pusingan kedua Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan pada Jumaat.
Meskipun berjaya menamatkan pusingan pertama dengan rekod baharu 13 perlawanan tanpa kalah dan hanya dibolosi sekali sahaja, Solari tetap mahu pemainnya meneruskan idea permainan yang diterapkan sekaligus membawa pulang tiga mata ke Iskandar Puteri.
JDT bakal beraksi di laman lawan buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Penang FC di Pulau Pinang Sabtu lalu dijangka menurunkan kesebelasan terbaik untuk memastikan kemenangan ke-14 dapat dicapai sebelum liga berhenti rehat untuk memberi laluan kepada pasukan kebangsaan.
“Sudah tentu ianya perlawanan yang sukar. Terengganu semakin baik kebelakangan ini dan mereka mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri. Perlawanan pertama dahulu ketika kita memulakan saingan liga juga sukar kerana mereka mempunyai pemain dan jurulatih yang baik.
“Ianya bakal menjadi perlawanan yang menarik untuk semua penyokong dan kami ke sana untuk menyerang dan bermain dengan baik serta harap dapat bawa pulang tiga mata,” katanya.
Sementara itu jurulatih berusia 43 tahun itu juga percaya ayam tambatan JDT, Arif Aiman Hanapi akan kembali ke kemuncak prestasi selepas kelihatan sedikit tenggelam dalam dua perlawanan terakhir menentang Penang FC.
Dia nyata yakin dengan kemampuan yang ada pada pemain sayap kebangsaan itu dan mahu Arif diberikan sokongan daripada semua kerana masih banyak yang perlu dipelajarinya pada usia yang masih muda.
“Arif adalah individu yang sangat baik dengan semua orang dan dia bekerja keras untuk pasukan. Ada kalanya pemain mempunyai momen mereka dan dia sedar itu bukan momennya dalam dua perlawanan lalu. Arif tahu dia mendapat sokongan daripada kami kerana dia sentiasa ada menyokong kami dalam pasukan.
“Dia masih muda dan banyak lagi perlu yang perlu dipelajari. Apa yang pasti dia adalah pemain yang bekualiti dan akan tunjuk kepada kami dalam pusingan seterusnya apa yang mampu dia berikan pada pasukan,” jelas Solari.
Harimau Selatan sudah tentu mahu memastikan tiga mata penuh di Gong Badak selepas menang 2-0 pada aksi pembukaan Liga Super yang juga perlawanan Piala Sumbangsih pada Februari lalu di Stadium Sultan Ibrahim dan pastinya satu perlawanan hebat bakal disajikan kedua-dua pasukan.