SELEPAS melakar kemenangan terbesar musim ini, 7-0 keatas Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi April lalu, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT) Esteban Solari menganggap perlawanan pada Sabtu adalah satu perlawanan yang baharu dan rekod lampau tidak boleh dijadikan ukuran.

Solari juga sedar bahawa Negeri Sembilan akan hadir ke Iskandar Puteri untuk memberikan kesukaran buat pasukannya dan dia tidak mahu mengambil mudah sebaliknya memastikan anak-anak buahnya bersedia bagi mengelakkan mereka keciciran mata.

“Ianya adalah perlawanan yang berbeza sama sekali. Jika kita lihat, Negeri Sembilan sering mendatangkan kesukaran pada pasukan lawan terutama ketika mereka bermain dengan baik.

Esteban Solari

“Kami tidak mahu kehilangan mata dan mahu bermain corak permainan kami setiap perlawanan dan sudah pasti negeri Sembilan mahu berikan kami kesukaran kerana mereka ada penyerang yang baik serta bagus menerusi ‘set piece’ dan ianya satu cabaran yang baik buat kami,” katanya.

Ditanya adakah persediaan pasukan terjejas sekiranya Negeri Sembilan membawa masuk pemain baharu apabila jendela perpindahan kedua sudah dibuka, pelatih dari Argentina itu tidak gusar sebaliknya hanya fokus kepada pasukan sendiri.

“Undang-undang membenarkan semua pasukan membawa masuk pemain baharu namun kami hanya fokus pada pasukan kami dan sesuaikan taktikal dengan lawan yang dihadapi dan kami akan bersedia untuk perlawanan ini,” jelasnya.

Jordi Amat

Sementara itu kapten pasukan, Jordi Amat pula mahu setiap pemain fokus pada aksi berpasukan bagi memastikan JDT dapat meraih kemenangan dan terus menghasilkan keputusan yang cemerlang.

“Semua permainan adalah penting bagi kami dan akan cuba dapatkan tiga mata. Kami perlu fokus pada persembahan dan perlu bermain baik untuk catat kemenangan dan harap dapat keputusan yang baik.

“Saya juga harap semua pemain berada dalam keadaan baik dan kami sudah bersedia menghadapi perlawanan ini dan untuk terus hasilkan keputusan cemerlang,” katanya.