KETUA Jurulatih skuad wanita kebangsaan, Soleen Al-Zoubi menganggap penyertaan mereka dalam Kejohanan Women’s International Friendly di Taif, Arab Saudi bukanlah untuk muncul juara sebaliknya mahu menjadikannya medan ujian gabungan pemain senior dan junior.
Malayan Tigress hadir ke Taif dengan barisan serba baharu yang menampilkan lebih banyak muka baharu yang mempunyai minit permainan ekoran penglibatan dalam Liga Wanita Nasional (LWN) yang ditubuhkan tahun ini.
Dia juga gembira kerana akhirnya para pemainnya dapat didedahkan dengan pertandingan menentang lawan yang setaraf berbanding bertemu lawan yang bertaraf Piala Dunia di Asia Tenggara.
“Bagi saya kejohanan ini sangat penting untuk pemain-pemain saya kerana mereka pernah bermain di peringkat tertinggi, berdasarkan kedudukan kita di Asia Tenggara semua pasukan yang kita bertemu adalah kualiti Piala Dunia seperti Filipina dan Vietnam.
“Jadi ini kali pertama pasukan Malaysia bermain dengan pasukan setaraf. Jadi saya jangka akan lihat kelebihan teknikal buat pemain saya yang mana mereka dapat bermain dengan yakin dan tenang serta cuba terapkan apa yang apa yang dimahukan,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Atas sebab itu Soleen menjadikan kejohanan ini sebagai salah satu perancangan jangka masa panjang dalam misi untuk mara ke Piala Dunia Wanita dengan memberikan peluang buat pemain muda untuk meraih pengalaman.
“Kami bawa ramai pemain muda untuk labur kepada mereka dan beri pengalaman kerana strategi jangka masa panjang kami adalah untuk layak ke Piala Dunia.
“Ini baru permulaan, sejujurnya kami tidak mensasarkan untuk menang kejohanan ini tapi jika menang ianya bagus untuk negara dan pembangunan bola sepak wanita serta beri motivasi kepada pemain-pemain,” jelasnya.
Sementara itu pengendali dari Jordan itu gembira apabila pemain-pemainnya berada pada tahap terbaik dan cepat menyesuaikan diri dengan keadaan di Taif dan dia turut berpuas hati dengan fasiliti yang disediakan oleh pihak penganjur.
Malayan Tigress akan membuka tirai kejohanan dalam aksi Kumpulan A menentang tuan rumah Arab Saudi pada Isnin sebelum menentang Pakistan pada 21 September dengan sasaran awal adalah untuk layak ke separuh akhir.