KETUA Jurulatih, Soleen Al-Zoubi dan para pemain Malayan Tigress mengambil kesempatan cuti umum sempena Hari Kebangsaan ke-91 Arab Saudi untuk menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah.
Mereka yang kini berada di Arab Saudi sempena Kejohanan Women’s International Friendly di Taif dilihat bersama-sama mengambil kesempatan menunaikan umrah ketika menunggu keputusan perlawanan antara Arab Saudi dan Pakistan yang dijadualkan pada Ahad.
Menerusi hantaran di laman sosial peribadi Intan Serah, para pemain dan Soleen dilihat mesra berswafoto di hadapan Kaabah selepas selesai menunaikan umrah dan menunjukkan semangat setia kawan dan bersatu padu.
Selepas dua perlawanan Malayan Tigress hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Arab Saudi dan Pakistan yang membuatkan mereka kini terpaksa menunggu keputusan perlawanan antara kedua-dua pasukan itu bagi menentukan sama ada berjaya layak ke peringkat separuh akhir atau tidak.
Sementara itu, pemain lain yang bukan beragama Islam pula dilihat meraikan hari kebangsaan Arab Saudi dengan bersiar-siar di sekitar Taif sempena cuti rehat yang diberikan barisan kejurulatihan.
Selesai menunaikan ibadah, para pemain kembali ke padang latihan di Taif untuk melakukan persediaan dan latihan kecergasan sekiranya berjaya layak ke peringkat seterusnya bagi bertemu lawan dari Kumpulan B.