PENGENDALI skuad Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi mengakui dia dan barisan kejurulatihan mengalami masalah untuk memilih 23 pemain terbaik untuk dibawa ke Vientiane bagi mengharungi Piala AFF Wanita 2024 kerana kesemua pemain menunjukkan komitmen yang tinggi.

Dari 25 pemain yang menyertai kem latihan pusat, dua pemain perlu digugurkan bagi mematuhi syarat pertandingan dan Soleen masih berteka teki siapakah yang bakal memasuki senarai akhir pemain sebelum berlepas ke Laos pada Khamis.

Ditambah pula dengan kecederaan yang dialami Intan Serah Anisah serta masalah pelepasan kerja Lyana Soberi, namun pengendali itu yakin semua pemainnya mampu untuk melaksanakan tugasan yang baik ketika kejohanan berlangsung.

“Buat masa sekarang, kami sudah 90 peratus bersedia dan apabila kami tiba di Laos, beberapa perkara kecil perlu dilakukan seperti memberikan ‘hype’ kepada para pemain mengenai kejohanan bagi memastikan fokus pasukan menjadi 100 peratus.

“Sukar untuk kami barisan kejurulatihan memilih skuad akhir kerana kesemua pemain memberikan komitmen sepenuhnya namun kita perlu akur kepada peraturan yang membenarkan hanya 23 pemain dan saya perlu menggugurkan dua pemain untuk membentuk barisan terbaik.

“Azurin telah kembali berlatih dan Intan Serah masih menjalani ‘rehab’ dan kami perlu menunggu maklum balas dari doktor pasukan sama ada dia boleh bermain atau tidak kerana dia mengalami kecederaan pada ‘groin’ serta Lyana yang masih belum mendapat pelepasan daripada tempat kerjanya tetapi kami mempunyai ‘Plan B’ untuk mengatasi perkara ini,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Kemboja dan Indonesia dengan kedua-dua lawan akan bermain terlebih dahulu dan ini memberi peluang buat Soleen menganalisa prestasi lawan yang padanya akan memberikan sedikit kelebihan buat Malayan Tigress.

“Sejujurnya kedua-dua lawan dalam kumpulan adalah baik berdasarkan info yang diperolehi. Indonesia mempunyai pemain dengan skil individu yang baik manakala Kemboja juga semakin bertambah bagus kerana mereka mempunyai liga yang baik dan ianya satu perkara positif kami dapat melihat terlebih dahulu aksi mereka di sana.

“Saya percaya kebanyakan pemain sudah bersedia dengan memberikan 150 peratus dalam latihan dan kami perlu memastikan mereka sentiasa bersedia terutama dari segi mental ketika dalam perlawanan dan ini yang saya mahu lihat dari setiap pemain,” jelasnya.

Malaysia akan memulakan kempen Piala AFF Wanita menentang Indonesia pada 26 November sebelum bertemu Kemboja pada 29 November untuk memburu dua tempat teratas untuk layak ke separuh akhir dan Soleen meletakkan sasaran untuk muncul juara dan layak ke Kejohanan AFF Wanita 2025.