KETUA jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan, Soleen Al Zoubi tidak boleh menerima tindakan yang dilakukan pemain negara, Intan Serah Anisah Zulgafli yang mencetuskan kontroversi di laman maya apabila memuatnaik ciapan jelek terhadap ketua jurulatih, Kim Pan-gon dan penyerang, Romel Morales ketika perlawanan Piala Asia 2023 menentang Republik Korea.

Penyerang Malayan Tigress itu dilihat mempertikaikan tindakan Pan-gon membawa masuk Morales yang dianggap tidak tepat sehingga mendapat kecaman dari netizen yang memaksa dia memadam semula ciapan itu.

Soleen memandang serius perkara ini dan mahu semua pemain negara mengawal tindakan terutama ketika dalam keadaan beremosi dan mahu mereka jadikan insiden ini sebagai pengajaran dalam karier sebagai pemain profesional.

“Hal Intan, ya dia sudah meminta maaf kerana dia tahu saya seorang yang tegas berkaitan insiden ini. Sebagai ketua jurulatih kebangsaan, saya tidak boleh menerima insiden ini tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, kami perlu memberikan didikan yang lebih kepada pemain kerana mereka masih belum mencapai tahap professional.

“Sesuatu yang baik dia lakukan apabila meminta maaf dan bertindak dengan pantas dan saya harap dia belajar tetapi ianya bukan hanya melibatkan Intan sahaja tetapi untuk semua pemain agar belajar dari kesilapan ini.

“Saya hanya mempunyai satu mesej iaitu sentiasa jadi profesional, ianya bukan tentang kawalan emosi kerana kadang kala kita tidak dapat mengawalnya tetapi lebih kepada mengawal tindakan kerana ini adalah perkara yang sangat mustahak,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran FAS Women Super League 2024 di Klang.

Pengendali asal Jordan itu juga menerima dengan terbuka apa sahaja tindakan yang akan dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan berharap ianya akan menjadi pengajaran buat semua pemain supaya berfikir lebih panjang sebelum melakukan sesuatu perkara.

“Sudah tentu akan ada tindakan diambil oleh FAM dan sebagai jurulatih, saya akan menyokong apa sahaja tindakan yang dikenakan terhadapnya namun ini bukan tentang membunuh karier Intan tetapi kita tidak mahu mengiyakan perbuatan itu.

“Ianya satu pengajaran yang baik untuk semua pemain supaya mengawal tindakan kerana mereka adalah pemain profesional dan membawa nama negara,” jelasnya.