PENGARAH Teknikal dan Ketua Jurulatih Bola Sepak Wanita Kebangsaan, Soleen Al-Zoubi bangga dengan kejayaan penyerang negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli yang melebarkan sayapnya bermain di Amerika Syarikat.
Ini selepas Intan Sarah menerima tawaran dari kelab New York Dutch Lions FC yang berpangkalan di Universiti Long Island, kampus Brooklyn dan akan menyertai Women’s Premier Soccer League (WPSL) untuk musim panas 2023.
Ini adalah pencapaian terbesar buat gadis berusia 24 tahun itu selepas baru sahaja bermain buat skuad bola sepak wanita negara pada temasya Sukan SEA ke-32 di Kemboja bulan lalu.
Menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab, NYDLFC mengesahkan kehadiran Intan sebagai salah seorang pemain terbaharu yang ditandatangani selepas selesai urusan visa di kedutaan Amerika Syarikat.
Intan yang kini dalam perjalanan jauh ke New York dilihat sempat memuat naik gambarnya bersama Soleen di laman Instagram dan mengucapkan terima kasih kepadanya atas peluang yang diperolehi ini.
“Saya sangat berbangga dengan perkara ini. Fokus utama kami adalah untuk memprofesionalkan permainan ini dengan mempromosikan pemain untuk bermain di luar negara kerana ianya adalah peluang terbaik utjuk menimba pengalaman di peringkat antarabangsa di dalam suasana berprestasi tinggi.
“Sukan SEA adalah sangat penting dalam mempromosikan pemain kita dan saya menjangkakan beberapa pemain lagi akan mendapat peluang sebegini selepas ini.
“Saya gembira buat Intan kerana dia layak dan kami pernah berbincang tentang perkara ini malah dia juga sudah bersedia. Saya ucapkan selamat maju jaya buatnya dan ini adalah permulaan dengan yang terbaik akan hadir selepas ini”, katanya gembira.
Ketika di Sukan SEA Kemboja, Malaysia menamatkan saingan di dalam Kumpulan A dengan tiga kekalahan kepada Vietnam, Filipina dan Myanmar dengan Intan menjaringkan gol tunggal ketika tewas 1-5 kepada Myanmar.
Penghijrahan Intan ke New York mendapat sambutan meluas daripada pihak media dan serta beberapa artis tempatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat seperti Yuna selain mendapat ucapan tahniah daripada rakan-rakan sepasukannya.
Intan dijangka memulakan latihan sejurus tiba di New York dan akan memulakan aksi bersama kelab terbarunya bertemu Brooklyn City FC pada 18 Jun 2023.