KETUA Jurulatih skuad wanita kebangsaan, Soleen Al-Zoubi nyata gembira dengan keadaan pasukan ketika ini untuk menghadapi Kejohanan Women’s International Friendly yang dianggap lebih bersedia hasil kejayaan penganjuran Liga Wanita Nasional (LWN).

Soleen kelihatan berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan pemain-pemain baharu yang dipanggil kerana mereka cepat mengadaptasi dan faham dengan sasaran serta corak permainan yang dia mahukan.

“Pasukan berada dalam keadaan baik kali ini apabila pemain lebih bersedia dari sudut fizikal kerana mereka sudah mempunyai minit permainan menerusi Liga Wanita Nasional (LWN) yang juga dilihat membantu mereka untuk lebih fokus dari segi mental.

“Mereka juga kini lebih memahami permainan dan posisi masing-masing selain pemain-pemain baharu yang menyertai pasukan kali ini juga cepat mengadaptasi kerana sejak hari pertama kami sudah bersetuju dengan satu sasaran dan satu tujuan.

“Saya juga memberitahu pemain-pemain baharu ini yang mereka tidak mempunyai banyak masa dan perlu mengadaptasi dengan cepat. Mereka juga dianggap sebagai nilai tambah dalam pasukan terutama dari segi kekuatan dan kami optimistik dengan peluang kami kali ini,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pengendali Jordan itu juga masih belum memutuskan siapakah kesebelasan utama dalam skuad menentang Arab Saudi tetapi dia yakin semua pemain sudah mengetahui apa yang diinginkan.

“Saya masih belum memutuskan siapa bakal menjadi kesebelasan utama untuk bertemu Arab Saudi namun saya sudah mempunyai idea dan akan melihat kepada keadaan mereka selepas kami tiba di sana nanti.

“Perkara utama yang kami mahu capai pada pertandingan ini adalah untuk kami bermain dengan corak permainan yang sudah kami rancang dalam latihan dan kami mahu bermain satu permainan bola sepak yang cantik,” tambahnya.

Selain itu, Soleen juga gembira dengan kehadiran Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika sesi latihan terakhir yang baginya menambah semangat para pemain untuk memberikan aksi terbaik di Arab Saudi.

Skuad Malayan Tigress diundi dalam Kumpulan A dan akan berhadapan tuan rumah, Arab Saudi pada 18 September sebelum bertemu Pakistan pada 21 September.

Tiga lagi pasukan yang bertanding adalah Laos, Lubnan dan Bhutan yang diundi dalam Kumpulan B dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium King Fahd Sports City, Taif.