PERSIAPAN penganjuran Sukan Para Asean 2022 kembali rancak apabila tuan rumah, Solo meningkatkan usaha bagi memastikan kelancaran temasya ini untuk atlet para dan kontinjen.

Edisi ke-11 sukan dwitahunan serantau itu telah diberikan kepada Solo, Indonesia menggantikan Hanoi yang terpaksa menarik diri dari menjadi penganjur ekoran penularan pandemik Covid-19.

Temasya tersebut dijadualkan berlangsung pada 30 Julai hingga 6 Ogos dengan lebih 1,500 atlet dijangkan mengambil bahagian dalam 14 jenis sukan.

Ia sekaligus menyaksikan kali kedua Solo menjadi tuan rumah selepas kali terakhir menganjurkan Sukan Para Asean ke-6 pada 2011.

Selepas tidak dianjurkan dua kali (Manila 2020 dan Hanoi 2021), atlet dan kontinjen teruja untuk bertanding di Solo sebagai sebahagian persiapan mereka ke Sukan Para Asia ke-4 di Hangzhou, September nanti.

Pihak penganjur mempunyai kurang dari 100 hari untuk menyiapkan segala perkara berkaitan temasya ini seperti sukan yang dipertandingkan, kawasan teknikal, kelayakan, sistem anti doping, pengurusan IT, media dan penyiaran, penginapan atlet dan juga pengangkutan.

Lebih dari 1,500 atlet dari 11 negara Asean, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura Thailand, Vietnam dan Timor Leste telah mendaftar untuk temasya ini.

Antara sukan yang akan dipertandingkan termasuk olahraga, memanah, badminton, boccia, Bola Sepak CP, catur, goalball, judo, para powerlifting, renang para, ping pong, tennis kerusi roda, bola tampar duduk dan bola keranjang kerusi roda.