TANPA berselindung, Kepulauan Solomon menganggap pasukan Malaysia muncul pilihan memenangi perlawanan persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu.

Ketua jurulatih The Bonitos, Felipe Vega Arango menjelaskan ia bersandarkan kekuatan dan kelebihan pemain negara yang mampu menjadi ancaman kepada mereka pada aksi itu nanti.

“Mereka boleh menghadirkan kesukaran kepada kami kerana ada dua pemain sayap Malaysia yang cukup berbahaya.

“Mala, mereka juga miliki pertahanan kiri yang hebat iaitu Corbin Ong yang mempunyai kaps dan assist yang banyak,” katanya semasa sidang media di Kuala Nerus.

Vega Arango menjawab pertanyaan pihak media di Kuala Nerus pada Selasa.

Penyerang berusia 19 tahun, Raphael Lea’i telah menjaringkan lima gol dalam tujuh penampilan untuk Solomon dan penyerang Velez Mostar itu akan menjadi perhatian.

Dengan dua jaringan menentang Fiji, Feni yang naik ke tempat keempat dalam carta penjaring sepanjang masa negara dan pemain berusia 30 tahun itu akan berusaha untuk menambah 16 gol antarabangsanya.

Malah, pemain tengah Marist FC itu telah dipanggil pertama kali oleh Vega-Arango termasuk tiga pemain tengah iaitu William Komasi, Molis Gagame dan Marlon Tahioa.

Joses Nawo teruja hadir ke Malaysia.

 

Dalam pada itu, penyerang skuad Bonitos, Joses Nawo tidak sabar untuk menentang Malaysia buat kali pertama esok.

“Saya tidak sabar untuk perlawanan esok, saya rasa perlawanan itu akan sukar buat kami tetapi saya percaya kami akan berikan cabaran yang hebat,” katanya.

Bagi Solomon, perlawanan kompetitif terakhir mereka berlaku pada kelayakan Piala Dunia 2022 pada Mac 2022, apabila mereka dibelasah teruk 5-0 di tangan New Zealand.

Sebelum itu, anak buah Vega-Arango melakar tiga kemenangan berturut-turut, menewaskan Kepulauan Cook, Tahiti dan Papua New Guinea dalam kelayakan Piala Dunia.

Bagaimanapun, Solomon telah memenangi tiga perlawanan berikutnya sejak tewas kepada New Zealand, meraih kemenangan persahabatan ke atas New Caledonia, Vanuatu dan terbaru Fiji.

Pasukan Bonitos kali terakhir beraksi pada 26 Mac, apabila mereka menewaskan Fiji 2-0 di Stadium Churchill Park hasil gol dalam kedua-dua babak daripada penyerang Kossa FC, Gagame Feni.

Solomon, yang telah memenangi enam daripada tujuh perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan, kini berada di kedudukan ke-134 dalam kedudukan terkini Fifa, empat tangga di atas Malaysia.