BARISAN pertahanan Harimau Malaya dijangka menumpukan sepenuh perhatian terhadap kelibat kapten Korea Selatan, Son Heung Min daripada bermaharajalela dalam kawasan berbahaya Malaysia.

Malah, pergerakan bintang sensasi kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur akan dirantai sepenuhnya menjelang pertembungan terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha Khamis ini.

“Semua orang tahu Son (Heung Min) adalah pemain terbaik. Saya sebenarnya suka bercakap dengan rakan sepasukan sebab saya tahu kalau satu lawan satu mungkin dia (Heung Min) boleh (lepas), tetapi kalau dua lawan satu atau tiga lawan satu mungkin dia boleh (dikekang).

“Dia pun manusia biasa, saya berasa kelebihan kita sebab kita bertahan dan dia menyerang. Saya percaya dengan rakan sepasukan dan barisan jurulatih,” kata pemain sayap skuad kebangsaan, Safawi Rasid kepada media di hotel penginapan pemain, di Doha pada Isnin.

Pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu masih mempercayai taktikal barisan kejurulatihan diketuai Kim Pan-gon dan kemampuan rakan sepasukan untuk memberi persembahan positif berdepan skuad Taegeuk Warriors.

Safawi juga menjadi antara pemain yang dijangka mengisi kesebelasan utama dalam pertembungan dengan pemenang dua kali itu.

Safawi pernah mencipta sensasi pada Sukan Asia 2018 apabila menghasilkan dua gol ketika membantu skuad bawah 23 tahun negara melakar kejutan besar mengalahkan Taegeuk Warriors 2-1 dalam aksi peringkat kumpulan.