SUKAN Orang Pekak Malaysia (SOPMA XXI)  2023 akan kembali membuka tirai di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Lembah Klang dari 3 hingga 7 Disember 2023 setelah lima tahun tertangguh.

SOPMA edisi ke-21 ini sama seperti sebelumnya iaitu khas buat atlet-atlet pekak Malaysia dan tiada bezanya dengan Sukan Malaysia (SUKMA).

Malah SOPMA 2023 menjanjikan sebuah temasya yang lebih gemilang kerana mendapat penyertaan lebih daripada 800 atlet dari 14 buah negeri di seluruh Malaysia.

Presiden Persatuan Orang Pekak Malaysia, Ong Shin Ruenn yang bersama-sama hadir dalam Majlis Perasmian SOPMA 2023 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras melahirkan rasa teruja dan gembira dengan kehadiran Menteri Belia Sukan, Hannah Yeoh, di majlis tersebut.

Menurutnya, malam itu merupakan kali pertama majlis perasmian SOPMA dikunjungi oleh seorang menteri dan seterusnya bagai bulan jatuh ke riba kerana Aeon BiG Malaysia bersetuju menjadi sebahagian besar daripada acara SOPMA sejurus diiktiraf sebagai penaja utama kejohanan sukan orang pekak ini.

Dalam masa yang sama, SOPMA XXI juga mendapat kerjasama daripada Majlis Sukan Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Belia dan Sukan Negara serta agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan sekali gus dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang lain.

Lima acara utama yang akan diadakan sepanjang SOPMA XXI adalah bola sepak (lelaki) di Padang MSN Bukit Jalil; futsal (wanita) di KLFA, Taman Melawati; boling (Ampang Superbowl USJ); badminton (TT Sport Centre Petaling Jaya) dan olahraga (Kompleks MPKJ Kajang).