MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengucapkan syabas kepada skuad Harimau Malaya yang berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 setelah menewaskan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia 2023.

“Malam bersejarah bola sepak negara, Skuad Harimau Malaya berjaya layak secara merit selaku lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan yang bersaing dalam aksi kelayakan.

“Kejayaan ini cukup bermakna buat seluruh Keluarga Malaysia. Teruskan fokus dan usaha untuk mencipta lebih banyak lagi kejayaan.

“Terima Kasih pemain ke-12! Kehadiran para penyokong memberikan sokongan padu kepada Skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam ini cukup jelas memberi impak dalam menyuntik semangat kepada pemain-pemain negara.

“Sorakan tanpa henti Ultras Malaya memeriahkan suasana di stadium dan telah berjaya meniup semangat para pemain untuk beraksi dengan cemerlang! Teruskan sokongan padu anda!,” katanya yang turut turun ke stadium membakar semangat pemain.

Lebih 52,000 penyokong hadir untuk sama-sama menyaksikan peristiwa sejarah bola sepak negara di bawah kendalian Kim Pan-gon kembali menjejakkan kaki ke pusingan akhir Piala Asia sejak kali terakhir melakukannya pada 1980 di Kuwait secara merit.