TAHUN 2022 bukanlah tahun kegemilangan badminton tanah air, namun sukan ini tetap menyerlah dengan lakaran sejarah baharu dicipta pemain.

Kejayaan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencipta sejarah muncul pemain Malaysia pertama meraih gelaran juara dunia pada Ogos lalu, menjadikannya sebagai pencapaian paling cemerlang buat arena sukan negara sepanjang tahun ini.

Aaron, 25, dan Wooi Yik, 24, menamatkan penantian 45 tahun Malaysia untuk melahirkan juara dunia badminton, selepas menewaskan beregu veteran dan bekas juara dunia tiga kali, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-14 di Tokyo, Jepun.

Kejayaan itu juga memadam badi tanpa kejuaraan buat beregu terbabit yang digandingkan sejak 2017, dengan satu-satunya gelaran cemerlang dimenangi mereka, pingat emas Sukan SEA 2019, selain pencapaian merangkul gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik membantu skuad badminton negara membuka tirai 2022 dengan kejayaan meraih gelaran sulung Kejohanan Berpasukan Asia di Setia Alam, Selangor Februari lalu.

Malaysia muncul juara berpasukan lelaki menewaskan musuh tradisi, Indonesia 3-0 pada aksi final manakala skuad wanita meraih gangsa selepas kecundang 0-3 kepada Korea Selatan di separuh akhir.

 

Bagi acara individu Kejohanan Asia di Manila, Filipina 26 April hingga 1 Mei, Lee Zii Jia merangkul gelaran perseorangan lelaki manakala Aaron-Wooi Yik meraih perak.

 

Serinya bertambah apabila gandingan beregu wanita, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan merangkul kejuaraan Terbuka Perancis, gelaran pertama buat beregu wanita negara di kejohanan terbabit, Oktober lalu.

Bagi Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berkata, sepanjang 2022, pemain beregu negara mencapai presetasi memuaskan namun perlu dipertingkat pada 2023.

Pearly Tan-M Thinaah naik ke ranking kelapan dunia dalam seanrai terkini Ranking Dunia BWF yang dikemaskini 15 November 2022

“Bagi kategori beregu, kita sudah pernah ‘champion’ dalam pelbagai kejohanan sepanjang tahun ini. Beregu campuran menjuarai beberapa kejohanan berstatus Super 300 beregu lelaki pula sehingga juara dunia, manakala beregu wanita, ada yang menjuarai kejohanan 300, 100 dan 750.

“Dari Januari hingga akhir tahun ada gelaran, bermula di Terbuka india, Sukan SEA, Sukan Komanwel, hingga Terbuka Perancis.

“Namun ini bukan penyudahnya kerana belum cukup dan kita mesti capai lebih baik pada 2023,” kata Rexy.

Rexy turut melihat 2022 sebagai tahun yang baik dari segi persaingan antara pemain di bawah ABM dan juga pemain profesional, sekali gus menerbitkan persaingan sihat.