EKSKLUSIF

SUKA duka episod sukan Malaysia sepanjang 2022, tidak hanya berlaku dalam negara, malah turut ditempuh rakyat yang berada di luar negara.

Tidak terkecuali bekas pemain skuasy lelaki nombor satu negara, Ong Beng Hee yang membawa diri ke Amerika Syarikat.

Sejak meninggalkan tugas sebagai jurulatih kebangsaan pada 2017, Beng Hee berkelana ke Qatar, sebagai Pengarah Kejurulatihan di sana, sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Amerika Syarikat (AS) pada September 2021.

Meskipun belum melupakan episod duka 2017, Beng Hee mengakui 2022 antara tahun yang menggembirakannya.

Beng Hee bersama pasuakn skuasy wanita Amerika Syarikat yang muncul naib juara Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia.

“Tentunya menjadi ketua jurulatih Amerika Syarikat menjadi satu pencapaian terbesar saya kerana menjadi lelaki Asia pertama menjadi jurulatih AS dan tahun ini, skuad bimbingan saya muncul naib juara Kejohanan Skuasy Wanita Berpasukan Dunia di Mesir, awal bulan ini.

“Jadi, saya sudah buktikan sebagai rakyat Malaysia, kita juga mampu melakukannya jika diberi peluang,” kata Beng Hee yang berada di AS.

Beliau berkata, sebagai seorang jurulatih di peringkat antarabangsa, dia mahu menjadi contoh yang baik kepada warga Malaysia yang lain.

Beng Hee raikan pencapaian bersama pasukan wanita Amerika Syarikat.

“If i can be successful, everyone should strive to be better in what they want to do in squash,” kata Beng Hee ketika dihubungi FLASH SUKAN.

“Peluang memang banyak jika kita dapat berkerjasama dan tidak ditinggalkan bersendirian.

“Inilah harapan saya agar tiada bekas atlet dibiarkan bersendirian selepas bersara dan saya berharap program Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) perlu mempercepat langkah membantu atlet.”

Menurut Beng Hee, peristiwa yang tidak diundangnya sepanjang 2022 adalah kegagalan membawa AS merangkul sebarang gelaran skuasy di pentas antarabangsa.

Beng Hee ketika bergelar pemain.

Ketika membimbing skuad negara, Beng Hee berjaya membawa S Sivasangari dan Ivan Yuen ke ranking 40 dunia, namun terkilan kerana hanya jurulatih asing mendapat segala manfaat dan kelebihan sedangkan jurulatih tempatan ketika itu, bagai dipandang sepi.

Dia tidak menolak kemungkinan untuk kembali menabur bakti di tanah air.

“Sudah tentu pengalaman amat penting, namun selepas 25 tahun bermain untuk Malaysia, sayalah individu paling berpengalaman dalam pasukan namun malangnya, saya tidak diberi peluang memimping barisan kejurulatihan Malaysia.

“Pasukan lelaki Malaysia ketika itu mencapai ranking tertinggi 28, berbanding ketika saya mula mengambil alih, ranking ke-137 dunia.”