SKUAD hoki kebangsaan menjalani tahun yang cukup baik pada 2022 dengan pelbagai kejayaan sekaligus mengharumkan nama negara dan mengembalikan keyakinan peminat terhadap sukan hoki tempatan.

Speedy Tigers dibawah kendalian jurulatih, A.Arul Selvaraj kini dalam proses menjadi pasukan hoki moden dengan mengetengahkan kepentingan sains sukan selain skil individu yang dituntut dalam permainan hoki masa kini.

Arul sentiasa menyatakan hoki masa kini adalah 80 peratus kepantasan dan 20 peratus skil pemain dan dia lebih gemar untuk menentang pasukan Australia ataupun Eropah kerana baginya ini adalah ‘set up’ terbaik buat skuad kebangsaan.

 

Arul Selvaraj

Dengan menggunakan sains sukan, Arul berjaya melahirkan para pemain yang mempunyai daya saing dan kepantasan yang diperlukan dan akhirnya beberapa keputusan baik mula dicapai oleh Speedy Tigers.

Tempat kedua di Piala Asia di Jakarta dengan hanya tewas sekali sekaligus layak ke Piala Dunia Hoki 2023 adalah antara kejayaan yang menjadi kebanggaan peminat sukan hoki negara kerana mereka mula melihat hasil daripada kem latihan yang dijalankan di Australia menentang pasukan nombor satu dunia itu.

Tidak cukup dengan itu, anak-anak buah Arul berjaya pula mencipta sejarah muncul juara Piala Sultan Azlan Shah yang diadakan di Ipoh buat pertama kali sekaligus membangkitkan rasa teruja para peminat yang semakin yakin Malaysia mampu melakukan sesuatu di Piala Dunia.

Razie Rahim menjaringkan kemenangan untuk muncul juara Piala Sultan Azlan Shah

Bagaimanapun kecemerlangan ini tidak dapat diteruskan di Kejohanan Nations Cup di Afrika Selatan apabila Speedy Tigers sekadar di tempat keempat dari lapan pasukan namun Arul gembira kerana banyak perkara yang dapat dipelajari terutama dari pasukan ternama dunia.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) ternyata berpuas hati dengan pencapaian ini yang dianggap baik dan sebagai persiapan yang cukup bagus sebelum ke Piala Dunia dan para pemain yang terlibat telah menerima sumbangan dalam satu majlis keraian yang dilakukan.

Berita baik tentang hoki negara tidak hanya terhenti di hoki padang sahaja malah pasukan hoki dalam dewan kebangsaan turut mempamerkan aksi cemerlang apabila skuad lelaki muncul juara Piala Asia Hoki Dalam Dewan manakala skuad wanita mendapat tempat ketiga.

Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki muncul juara Piala Asia

Di bawah kendalian bekas pemain kebangsaan, Amin Rahim dan Rodhanizam Mad Radzi, meskipun pasukan dibentuk lewat dan tidak mempunyai fasiliti latihan yang baik, namun ianya tidak menjadi penghalang buat mereka memberikan kebanggaan kepada negara.

Piala Dunia Hoki 2023 akan menjadi ujian pertama skuad hoki kebangsaan pada tahun hadapan dengan sasaran yang diletakkan adalah untuk melepasi peringkat kumpulan selain memperbaiki kedudukan berbanding tempat ke-11 pada edisi 2019 lalu.