KETUA jurulatih Bahrain, Helio Sousa mendedahkan pengawalan emosi dipupuk kepada pemain-pemainnya ketika turun menentang Malaysia pada aksi Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil , Sabtu malam.
Jelas Sousa, dia sentiasa mengingatkan pemain untuk menjaga kestabilan emosi lebih-lebih lagi pada separuh masa kedua perlawanan.
“Saya nampak suasana separuh masa pertama dan melakukan pertukaran selepas itu. Kita cuba mengekalkan kestabilan emosi, meskipun penyokong Malaysia menakjubkan.
“Memang perlawanan sukar dengan pasukan pelawat. Tetapi saya berterima kasih kepada semua pemain dan usaha ke Taiwan (sebelum ini) untuk mencari pengalaman dalam keadaan ini nampaknya berbaloi.
“Persefahaman hadir menerusi latihan yang berterusan untuk mengikuti taktikal yang saya ketengahkan biarpun dalam keadaan padang yang tidak selesa,” jelasnya pada sidang media selepas perlawanan.
Bahrain yang kini mendahului kedudukan kumpulan dengan enam mata bakal melengkapkan saingan Kumpulan E dengan bertemu Turkmenistan Selasa ini.