EMPAT elemen asas dalam pembangunan bola sepak, menjadi dasar pembentukan pemain yang ditekankan akademi bola sepak antarabangsa, Southampton Academy Malaysia (SAM).

Berbekalkan kepakaran yang ada dalam pembangunan SAM, akademi ini yakin pemain yang menyertai akademi terbabit mampu digilap menjadi pemain yang dimahukan pasukan elit mahupun profesional di Malaysia dan luar negara.

Pengarah SAM, Bharat Ganesh (kiri) sentiasa turun padang memastikan akademi bola sepak terbabit diuruskan dengan baik.

Hanya empat aspek pembangunan menjadi keutamaan SAM dalam membangun modal insan yang hebat dalam sukan itu.

Aspek teknikal dan taktikal, psikologi, fizikal dan sosial.

Pengarah SAM, Bharat Ganesh berkata, akademi terbabit menyasarkan pengambilan bakat bawah lapan tahun, 10, 12, 15 dan 17 dengan sasaran setiap skuad bawah umur, sekurang-kurangnya 15 pemain.

Selain latihan asas, perlawanan persahabatan turut diatur di Football Hub, Eco Grandeur, Puncak Alam, yang menjadi training base Southampton Academy Malaysia.

“Sekarang kita masih baharu, di fasa pertama, melakukan pengambilan pemain, dan pada fasa kedua adalah menjalani latihan dan menyertai perlawanan serta kejohanan.

“Di peringkat awal, kita tak travel ke mana-mana dan semua perlawanan berlangsung di Football Hub Eco Grandeur yang menjadi base camp kami.

“Football Hub ini adalah rakan kongsi selain ICMS (International College of Management and Sports) yang menyokong kami dari segi program dan acara.

Selepas tamat latihan, permainan bola sepak membabitkan bapa dan jurulatih turut diadakan bagi memastikan hubungan lebih erat dengan akademi.

“Malah kita menjalin kerjasama bersama ISN (Institut Sukan Negara), Johor Darul Ta’azim (JDT) dalam mengendalikan pencarian bakat,” kata Bharat.

Menurutnya, SAM dibarisi jurulatih yang mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya lesen C malah mempunyai pengalaman sebagai pemain bola sepak.

Pemain bola sepak kelahiran Ghana, Patrick Asare menjadi ketua jurulatih di SAM.

One to one coaching… Patrick Asare memberi latihan secara indvidu dalam memahirkan pemain dalam aspek teknikal.

“Di sini, setiap pemain akan menerima sentuhan peribadi jurulatih yang akan memberi maklum balas secara individu kepada setiap pemain.

“Kita juga mengamalkan pendekatan holistik pembangunan bola sepak, baik dari segi sains mahupun pendidikan,” kata Bharat lagi.

Ujarnya, setakat ini, SAM berjaya mengumpul 35 pemain di pelbagai peringkat umur biarpun baru beberapa bulan beroperasi.