PRESTASI sang juara mungkin tertinggal di Ipoh, apabila Speedy Tiger memulakan aksi Piala Negara-Negara FIH, di Potchefstroom, Afrika Selatan dengan kekalahan 0-1 kepada Korea Selatan.
Nampaknya, lawan sama berjaya membalas dendam dek kekalahan di final Piala Sultan Azlan Shah, di Ipoh awal bulan ini.
Aksi di Universiti North-West, itu menyaksikan Korea Selatan terus bergantung harap kepada pakar pukulan sudut penalti mereka, Jang Jonghyun.
Jonghyun tidak mempersia-siakan peluang yang diperoleh pada minit keempat apabila berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk meletakkan Korea Selatan di depan.
Anak buah A Arulselvaraj cuba untuk melakar kebangkitan bagaimanapun jaringan yang dicari gagal dihasilkan, sebaliknya keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Kedua-dua pasukan juga melepaskan peluang untuk menambah jaringan dengan dua penalti stroke Korea Selatan yang diambil Jonghyun dibatalkan pengadil, manakala satu lagi berjaya diselamatkan penjaga gol negara, Hafizuddin Othman.
Malaysia yang turut memperoleh penalti stroke juga gagal disudahkan Muhamamd Razie Rahim apabila pukulannya diselamatkan penjaga gol lawan, Kim Jaehyeon.
Malaysia kini di tangga ketiga kumpulan selepas satu lagi perlawanan, antara Jepun dan Kanada berpihak kepada juara Asia 2018 itu dengan keputusan 3-0.
Malaysia bakal bertemu Kanada esok untuk menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya.
“Walaupun tewas 1-0, kemampuan dan kemahuan pemain kita jauh lebih baik dari pemain Korea Selatan,” kata Arul.
Dua pasukan yang menamatkan saingan kumpulan di kedudukan teratas akan mara ke separuh akhir dan hanya juara kejohanan akan dinaikkan untuk beraksi di Pro League musim 2023/24.
Jika Malaysia muncul juara Piala Negara-Negara ini, tiada lagi isu skuad negara kekurangan kejohanan bertaraf tinggi, bersaing bersama pasukan yang berada dalam kelompok ranking 10 terbaik dunia.
Malaysia adalah pasukan di ranking tertinggi dunia iaitu 10, yang bersaing dalam Piala Negara-Negara kali ini.