SKUAD hoki lelaki negara akhirnya meraih kemenangan pertama pada pusingan kelayakan Olimpik Paris, di Muscat, Oman selepas membenam cabaran Chila 5-0 pada perlawanan penentuan 5/8 pada Sabtu malam.

Kemenangan yang diperoleh tanpa tekanan itu, membolehkan anak didik A.Arulselvaraj berpeluang menamatkan saingan di kedudukan kelima terbaik menentang Kanada hari ini.

“Kemenangan pertama kita… menewaskan Chile 5-0. Kita bermula perlahan, bangkit pada suku ketigadan empat.

Skuad negara mampu beraksi lebih baik tanpa tekanan. | Foto FIH

“Bermula di suku ketiga, saya lihat minda dan kaki pemain bergerak pantas dan dapat menjaringkan jaringkan 5 gol di separuh masa kedua.

“Apa membezakan pasukan kita pada perlawanan ini dengan perlawanan sebelumnya adalah peluang yang terhidang, pemian dapat menyelesaikannya dengan tenang dan selesa mengawal bola terutamanya dalam zon serangan,” kata Arul.

Kemenangan pertama.. Speedy Tigers menang 5-0 ke atas Chile, perlawanan yang penting bagi mengekalkan ranking skuad negara. | Foto FIH

Pada perlawanan itu, gol Speedy Tigers dijaringkan lima penyerang berbeza.

Gol pertama dijaringkan Razie Rahim menerusi jaringan padang pada minit ke-32, diikuti jaringan Ashran Hamsani (34’), Marhan Jalil (41’), Norsyafiq Sumantri (48’) dan Azrai Aizad Abu Kamal (60’).

Petang ini, skuad negara akan berdepan Kanada pada jam 7.30 petang bagi perlawanan tempat kelima dan keenam.