SKUAD hoki lelaki negara mempamerkan kesungguhan luar biasa apabila mengatasi kelab hoki Jerman, Monchengladbach 9-2, pada aksi kelima Jelajah Eropah hari ini.

Keputusan itu bagaikan satu kebangkitan, selepas barisan pemain bimbingan Sarjit Singh itu dibelasah skuad utama Jerman 10-1 pada perlawanan ujian, pada Ahad.

Sarjit berkata, keputusan diperoleh daripada aksi di Glabach Hockey & Tennis Club itu, menunjukkan pemain memiliki mentaliti yang kuat selepas dibelasah teruk.

Ketua jurulatih hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh memberi taklimat kepada pemain sebelum perlawanan menentang Monchengladbach. | FOTO KHM

“Perkara positif dapat dilihat adalah karektor pemain yang tidak patah semangat walaupun tewas dengan jaringan besar ketika bertemu Jerman… sememangnya tidak mudah untuk bangkit,” kata Sarjit, selepas tamat perlawanan.

Menurutnya, pemain bermain dengan baik dan bergerak sebagai satu unit, jika dibandingkan dengan aksi menentang Jerman yang menyaksikan pertahanan tidak memiliki struktur dan tidak berkerja dengan baik.

“Berbanding perlawanan keempat (menentang Jerman), kali ini pasukan bergerak sebagai satu unit dan ada percaturan baru dilakukan.

“Saya sifatkan dua perlawanan di Jerman ini memberi petanda yang sangat baik. Kita dapat mengenal pasti kemampuan pemain terutamanya ketika berhadapan dengan Jerman.

Fitri Saari menagtur serangan ke arah kawasan Monchengladbach. | FOTO KHM

“Intensiti perlawanan sangat tinggi dan kita sedar perlawanan sebegini mampu meningkatkan tahap permainan pasukan kebangsaan.”

Pada perlawanan menentang Monchengladbach itu, empat gol Speedy Tigers dijaringkan Faizal Saari pada minti ke-35, 42, 46 dan 59, manakala lima lagi gol dijaringkan lima pemain berbeza, Azimuddin Syakir (3’), Shello Silverius (32’), Norsyafiq Sumantri (40’), Alfarico Lance Liau (52’), Fitri saari (57’).

Begitupun, siri Jelajah Eropah belum berakhir dan pasukan negara akan bergerak ke Belanda bagi menghadapi dua lagi perlawanan ujian.

“Pasukan sedar dua  perlawanan lagi sangat sukar untuk pemain tetapi ini adalah peluang terbaik untuk kita bermain dengan pasukan yang sangat berkualiti.

“Mereka perlu mengambil peluang ini untuk meningkatkan kemahiran, fizikal dan pemahaman konsep permainan di peringkat antarabangsa.

Speedy Tigers akan beralih ke Belanda, bagi menghadapi dua perlawanan terakhir menentang Belanda dan India. | FOTO KHM

“Kami mahu mereka belajar dan matang secepat mungkin terutamanya pemain muda,” ujar Sarjit lagi.

Beralih ke Belanda, Speedy Tigers akan berdepan dua pasukan iaitu skuad Belanda dan India, sebagai penutup siri jelajah.

Untuk rekod, tiga perlawanan berlangsung di Belgium menyaksikan Speedy Tigers menang dua kali ke atas Belgium B dengan keputusan 3-2 manakala tewas sekali dengan keputusan 2-4.

Sementara di Jerman pula, skuad negara tunduk 1-10 kepada Jerman dan bangkit menang 9-2 ketika berdepan Monchengladbach.