SKUAD hoki lelaki negara ada potensi menghasilkan keputusan positif di Piala Dunia 2023.
Keyakinan itu dizahirkan Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Profesor Datuk Dr S Shamala selepas meneliti prestasi keseluruhan Speedy Tigers sepanjang siri Jelajah Eropah, baru-baru ini.
Menurut beliau, meskipun menang dua kali dan tewas dua kali termasuk dibelasah Belgium, barisan pemain dan kejurulatihan diyakini memperoleh input berguna dalam sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia di Bhubaneswar dan Rourkela, India pada 13 hingga 29 Januari depan.
“Ini adalah satu langkah yang bagus, sama seperti kita bertemu Nombor 1 dunia, Australia sebelum ke Piala Asia 2022 (di Jakarta, Indonesia pada Mei lalu), akhirnya pasukan negara muncul naib juara.
“Bukan sahaja dari segi keputusan tapi pendedahan diberi dan keberanian untuk menghadapi pasukan kuat, sangat bagus. Prestasi juga bagus kecuali Belgium kita kalah 0-7.
“Mungkin kita perlu belajar lebih berkaitan taktik atau strategi negara Eropah kerana Perancis pun sangat kuat sekarang. Namun, kita berjaya menang juga dengan Perancis pada aksi terakhir,” katanya.
Justeru, Shamala percaya skuad kendalian Arul Selvaraj mampu menghasilkan keputusan positif menghadapi Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak awal bulan depan.
“Bukan sahaja (Piala Sultan) Azlan Shah tetapi untuk kita buat sesuatu di Piala Dunia nanti. Kita tak mahu sekadar menyertai sahaja (Piala Dunia),” kata Shamala lagi.