SPEEDY Tigers akan mengharungi kempen Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 dengan misi sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

Dalam aksi di Hulunbuir, Inner Mongolia, China itu, pasukan kebangsaan lelaki berdepan cabaran juara bertahan India, Pakistan, Jepun dan tuan rumah China dari 8 hingga 17 September ini.

Seramai 19 pemain dipilih Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk menggalas cabaran Speedy Tigers yang dikemudi Sarjit Singh.

ACT 2024 juga adalah kejohanan ketiga skuad negara bagi musim 2024 di bawah kendalian Sarjit selepas Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara, Mei lalu.

Sarjit berkata, skuad kendaliannya sudah melakukan persiapan dengan baik termasuk mendapat perlawanan yang cukup berkualiti sewaktu di Siri Jelajah Eropah pada bulan lalu.

“Untuk kejohanan ini, barisan kejurulatihan mahu pemain tunjukkan adalah peningkatan prestasi mereka daripada satu perlawanan ke satu perlawanan, selain perlu ada penambahbaikan kualiti permainan daripada kejohanan lalu.

“Kami juga mahukan pemain konsisten apabila setiap kali turun beraksi kerana matlamat pasukan adalah mahukan perkembangan yang positif untuk jangka masa panjang dan kami barisan kejurulatihan berharap pemain akan sekurang-kurangnya ke separuh akhir.

“Harapan barisan kejurulatihan pastinya mahu melihat perkembangan positif pasukan dari semasa ke semasa dan setiap pemain mengambil tanggungjawab penuh apabila beraksi di atas padang kerana mereka membawa nama Malaysia,” kata Sarjit.

Pada edisi tahun lalu di Chennai India, Speedy Tigers muncul selaku naib juara selepas tewas tipis 3-4 ditangan India.