HARAPAN melihat Skuad hoki lelaki negara kembali ke Sukan Olimpik tampak berliku, selepas menempah kekalahan kedua alam aksi kumpulan A, di Muscat, Oman.
Kekalahan 1-4 kepada Great Britain itu hadir selepas Speedy Tigers tewas mengejut 2-3 d tangan China, sekali gus menyulitkan skuad bimbingan A.Arulselvaraj menunaikan hasrat ke Paris.
Meskipun masih gagal meraih sebarang mata, peluang ke separuh akhir kelayakan masih terbuka, namun terpaksa meletakkan nasib di tangan Great Britain yang akan berdepan China pada perlawanan terakhir kumpulan, sambil skuad negara perlu mengatasi Pakistan dengan jaringan besar.
Justeru itu Arul berkata, tempoh rehat sehari akan digunakan sebaiknya oleh pasukan untuk kembali segar menjelang aksi terakhir kumpulan selain menganalisa kekalahan 4-1 di tangan Great Britain awal pagi tadi dan juga lawan seterusnya, Pakistan.
“Walaupun kita tewas 4-1 tetapi jaringan gol itu penting untuk dibawa menentang Pakistan, ini kerana kita mempunyai minus empat, Pakistan minus tiga dan China minus 1. China akan beraksi dengan Great Britain, jaringan dua gol akan menentukan kedudukan tempat China nanti dan kita harus menang untuk membawa diri ke separuh akhir.
“Esok rehat, jadi kita akan gunakan hari berkenaan dengan sebaiknya. Ada beberapa kecederaan tetapi harap mereka dapat kembali beraksi melawan Pakistan nanti. Kita juga akan buat ‘post mortem’ melawan Great Britain dan menganalisa video untuk bertemu Pakistan,” kata Arul.
Pasukan negara harus kurang-kurangnya menamatkan pusingan kelayakan di Oman pada tempat ketiga terbaik bagi menamatkan kemarau 24 tahun ke pentas Olimpik selepas kali terakhir beraksi di pentas temasya terbesar dunia itu di Sydney 2000.
“Kita harus bermain dengan taktikal disiplin tinggi supaya dapat memberikan cabaran bagi mendapatkan kemenangan ataupun seri. Kita cuba dalam dua suku pertama, banyak memerlukan corak bertahan, kita berjaya dapatkan satu jarngan dan keputusan seri di separuh masa pertama.
“Namun apabila bermulanya separuh masa kedua, kita boleh lihat kepantasan pemain Great Britain yang menunjukkan di mana kedudukan mereka dalam (ranking) dunia. Kepantasan mereka menghantar bola panjang yang menampakkan prestasi mereka.
“Selepas situasi 3-1, kita terpaksa tukar taktikal dengan cuba menguasai masa dan bermain dengan masa supaya tak melepaskan banyak jaringan. Ini memandangkan jaringan akan menentukan (kedudukan) kita apabila bermain dengan Pakistan nanti, supaya dapat melayakkan diri ke separuh akhir dengan jaringan gol lebih baik,” katanya.