IMPIAN skuad hoki kebangsaan untuk menjulang Piala Asia tidak tercapai apabila tewas 1-2 kepada Korea Selatan dalam aksi final yang mendebarkan di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, Jakarta.
Kekalahan ini menambah kemarau Malaysia untuk muncul juara tetapi secara keseluruhan skuad negara beraksi cukup cemerlang dalam kesemua perlawanan yang dihadapi.
Korea Selatan dilihat sangat berdisiplin dalam aksi mereka dan seringkali menggagalkan percubaan berbahaya skuad negara terutama ketika pukulan sudut penalti.
Malaysia gagal menunjukkan permainan sebenar pada suku pertama dan ketinggalan pada awal suku kedua namun Malaysia berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol padang jaringan Syed Sobri enam minit sebelum tamat babak pertama.
Malaysia mengasak hebat pada suku ketiga tetapi dinafikan oleh kekebalan benteng pertahanan Korea Selatan. Beberapa peluang menerusi pukulan sudut penalti juga gagal menghadirkan jaringan buat pasukan negara.
Suku keempat menyaksikan Malaysia bermati-matian beraksi untuk menjaringkan gol pendahuluan tetapi hasil satu serangan balas, Korea Selatan berjaya mendahului 2-1 dan kedudukan itu kekal hingga tamat perlawanan.
Kekecewaan jelas terlihat pada wajah para pemain negara tetapi mereka patut berbangga kerana misi utama mereka untuk layak ke Piala Dunia sudah tercapai.
Dalam perlawanan lain, India berjaya mendapat tempat ketiga apabila menewaskan Jepun 1-0 manakala Pakistan kelima selepas membelasah Bangladesh 7-0 pada aksi sebelah petang. Oman ketujuh manakala Indonesia kelapan.