STRUKTUR baharu yang diterapkan dalam corak permainan Speedy Tigers diakui semakin berkesan dan pemain tidak kekok untuk mengadaptasinya.
Ketua jurulatih hoki lelaki kebangsaan, A Arulselvaraj berkata, bukan hanya pemain senior selesa dengan corak itu, malah pemain yang baharu sertai saingan antarabangsa mempamerkan kematangan.
Semalam, skuad hoki lelaki kebangsaan yang berada di Korea Selatan selama 10 hari, menempuh perlawanan persahabatan kedua dengan skuad kebangsaan negara itu, tewas 3-2.
“Walaupun tewas 3-2, pemain muda yang baru sertai perkawanan hoki antarabangsa seperti Muhajir Abdul Rauf, Muhammad Shafiq Hassan Adrian Andy Albert di posisi penjaga gol, cukup bagus.
“Pemain perlu belajar menguruskan situasi ketika mendahului untuk mencapai kemenangan.
“Prestasi secara individu… menggunakan struktur baharu dalam permainan, saya lihat semua pemain selesa dan matang,” kata Arul.
Sebelum tewas 3-2 kepada skuad Korea Selatan semalam, pasukan negara sekadar seri pada perlawanan pertama Rabu lalu.
Speedy Tigers masih mempunyai dua baki perlawanan menentang skuad negara itu pada Ahad dan Selasa depan sebelum kembali ke tanah air pada Rabu.
Latihan 10 hari di Korea Selatan menjadi sebahagian daripada persiapan skuad hoki lelaki negara, menghadapi cabaran Trofi Juara-Juara Asia (ATC) yang akan berlangsung di Chennai, India 3 hingga 12 Ogos depan.
Mengulas mengenai perlawanan Ahad esok, Arul berkata, beliau mahu pemain situasi pertukaran posisi dan kawasan menjaringkan gol dan lebih fokus kepada kelancaran mengambil pukulan pendek.