PASUKAN hoki lelaki kebangsaan faham situasi mereka disingkir dari program Road to Gold (RTG), dan menjadikannya sebagai motivasi untuk menghadapi pusingan kelayakan Olimpik Paris di Oman dan Sepanyol, awal tahun hadapan.
Pengurus pasukan hoki lelaki negara, Datuk Mirnawan Nawawi menerima keputusan jawatankuasa RTG menggugurkan pasukan hoki dari program berkenaan.
Mirnawan berkata, sebelum ini pasukan hoki menepati kriteria untuk berada dalam program RTG selepas menduduki ranking kesembilan dunia namun jatuh ke ranking ke-12 selepas gagal menyerlah di Sukan Asia Hangzhou 2022 baru-baru ini.
Namun begitu, beliau mengambil ini sebagai satu motivasi untuk pemain tampil lebih garang pada aksi kelayakan Olimpik Paris 2024 pada awal tahun depan.
“Saya harap pemain bermotivasi tinggi dan berikan yang terbaik supaya kita layak ke Sukan Olimpik dan ranking kita mungkin ketika itu akan lebih baik dan berada dalam kedudukan 10 terbaik dunia. Saya pasti jawatankuasa akan ambil kira semula kedudukan pasukan hoki berada dalam RTG,” katanya, ditemui pada selepas mesyuarat jawatankuasa RTG.
Mirnawan adalah ahli jawatankuasa program RTG berkata, keputusan itu sudah dijangka berikutan kriteria utama RTG adalah berada dalam Top 10 dunia.
Pengerusi RTG, Hannah Yeoh berkata, pasukan hoki lelaki negara disingkirkan selepas gagal memenangi pingat emas Sukan Asia Hangzhou, yang menjadi tiket automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan kesannya kini mereka tercicir ke ranking ke-12 dunia.
Selain pasukan hoki, dua beregu campuran negara, Kian Meng–Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai turut menerima nasib sama selepas gagal memberikan aksi terbaik.
Tambah Hannah, beliau berharap atlet yang berada dalam program RTG akan menunjukkan prestasi yang konsisten agar peluang untuk menang pingat di Paris nanti akan lebih cerah.