PERANCANGAN awal pasukan hoki lelaki kebangsaan ke New Zealand, sebagai persiapan ke pusingan kelayakan Olimpik Paris 2024, di Muscat, Oman Januari depan, perlu dikaji semula, kerana dikhuatiri membuka lebih banyak peluang buat pasukan dari Oceania itu mengenali corak permainan Speedy Tigers.

Bekas pertahanan kebangsaan, Maninderjit Singh berkata, perkara sedemikian perlu dielakkan berikutan skuad kendalian A Arulselvaraj dan New Zealand sama-sama akan bermain di Oman dan dijangka bertemu pada perlawanan penentuan tempat ketiga yang menjadi slot terakhir ditawarkan Muscat.

Skuad hoki lelaki terlepas slot ke Olimpik Paris, apabila gagal muncul juara di Sukan Asia Hangzhou, berpeluang mendapatkannya pada pusingan kelayakan di Muscat, Oman, Januari depan.

“Jelajah ke New Zealand, saya rasa bukan pilihan yang bijak untuk ke sana di saat akhir ini, jika enam bulan sebelum kelayakan mungkin boleh tapi dalam tempoh kurang sebulan, it is not good kerana kita dijangka menentang mereka untuk slot terakhir,” kata Maninderjit, ketika diminta mengulas mengenai peluang pasukan lelaki kebangsaan layak ke Olimpik Paris 2024.

Justeru, beliau menyarankan bahawa lebih baik untuk skuad negara melakukan persiapan dengan menjalani latihan di Muscat, melihat padang dan berlatih di atas padang itu dengan menjemput beberapa pasukan untuk perlawanan ujian di gelanggang sebenar.

Bekas pertahanan kebangsaan, Maninderjit Singh yakin peluang buat pasukan negara di kelayakan Olimpik Paris yang akan berlangsung di Muscat, Oman, namun perlu batalkan Jelajah New Zealand.

Mengulas mengenai undian di Oman, skuad negara yang diletakkan dalam kumpulan A bersama Great Britain (GB), Pakistan dan China, Maninderjit berkata, skuad negara tidak boleh hanya fokus kepada saingan kumpulan sebaliknya pesaing kumpulan B yang terdiri daripada Jerman, New Zealand, Kanada, Chile.

“Secara matematiknya, dalam kumpulan A, GB (England) berada di ranking keempat dunia, Malaysia ke-12, Pakistan (16) dan China (23), sudah tentu kita letakkan GB sebagai pilihan untuk menjuarai kumpulan.

“GB dan Jerman yang di ranking kelima dunia, berada pada kelas tersendiri dan hampir pasti dua pasukan itu ke final dan mengambil dua slot Olimpik, jadi lawan yang kita jangka di tempat ketiga adalah New Zealand.

“Begitupun, Pakistan, Kanada dan Chila juga boleh menjadi pengacau.”

Rekod pertemuan Malaysia dan New Zealand di Piala Dunia.

Pada 9 Oktober lalu, sejurus selepas kembali dari Hangzhou, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam satu sidang media, mengumumkan Jelajah 10 hari ke New Zealand untuk menghadapi beberapa perlawanan persahabatan diatur buat skuad lelaki negara dalam mempersiapkan pasukan menghadapi pusingan kelayakan Olimpik Paris.

Menurutnya, cabaran dibawa skuad negara kali ini cukup besar namun objektif pertama adalah melangkah ke separuh akhir terlebih dahulu.

Rekod pertemuan Malaysia dan Pakistan.

Menurutnya, perlawanan separuh akhir pula bergantung kepada posisi pasukan ketika menamatkan saingan peringkat kumpulan, “Jika layak ke final, sudah tentu ktia sudah sah ke Olimpik, namun jika beraksi pada penentuan tempat ketiga, saya rasa kita akan jumpa New Zealand.”

Berdasarkan rekod tiga pertemuan skuad negara menentang New Zealand di Piala Dunia, kedua-dua pasukan masing-masing menang sekali dan seri sekali.

Rekod pertemuan Malaysia menentang China.

Maninderjit berkata, meskipun skuad negara tewas kepada Pakistan 2-5, pada penentuan tempat kelima di Sukan Asia Hangzhou, pasukan Arul itu tetap ada rekod baik tahun ini selepas menang 3-1 ke atas pasukan lawan pada aksi di Trofi Juara-Juara Asia.

Sementara rekod berdepan China pula, skuad negara menang enam daripada lapan pertemuan dan seri dua perlawanan termasuk di peringkat kumpulan di Sukan Asia lalu.

Skuad negara akan membuka cabaran kelayakan di Muscat menentang China pada 15 Januari 2024, diikuti menentang GB (16 Januari) dan Pakistan (18 Januari).