TINDAK balas pantas, antara aspek paling utama perlu dipertingkat dalam skuad hoki kebangsaan untuk mencapai dalam kemenangan, di Piala Negara-Negara FIH yang akan berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan 28 November hingga 4 Disember ini.
Input itu diperoleh ketua jurulatih A Arul Selvaraj, hasil perlawanan persahabatan antara Speedy Tigers menentang Afrika Selatan di University of North West, Potchefstroom, di sini, hari ini.
Pada perlawanan itu, skuad negara seri 1-1 dengan Afrika Selatan.
Pada perlawanan itu, Malaysia ketinggalan sebelum Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti, di suku ketiga permainan.
“Dari segi pergerakan, kita bermain dengan baik, pergerakan bola baik dan juga ketika melakukan tekanan, Cuma kita perlu ‘improve’ dari segi ‘reaction’.
“Marking dalam circle juga, kita perlu lebih menggunakan badan dan bahagian bawah badan,” kata Arul.
Menurut beliau, Speedy Tigers mengadaptasi cuaca di Potchefstroom, Afrika Selatan dengan baik, biarpun beraksi di kawasan beraltitud tinggi, 1,500 di atas paras laut.
“Pemain dapat adaptasi dengan baik, saya gembira. Hari ini kita ada perlawanan persahabatan, dan petang ini sesi di gimnasium manakala esok kita akan rehat,” katanya lagi.
Sementara itu, Arul berkata, beliau mahu melihat peningkatan drastik pemain dari segi bertahan, sepanjang kejohanan ini.
“Harapan kita adalah ada peningkatan drastik dari segi mempertahankan kitaran pertahanan dan juga ‘final three pass‘ ketika bertahan dan juga menyerang,” kataya.
Speedy Tigers akan membuka perlawanan menentang Korea Selatan pada Isnin ini.
Selain Korea Selatan, Malaysia bersaing dalam kumpulan B bersama Jepun dan Kanada.