MEMENANGI pingat emas tetap menjadi misi skuad hoki negara di temasya Sukan Asia Hangzhou, China, 23 September hingga 8 Oktober depan.
Skuad hoki lelaki kebangsaan tampil dengan misi hanya untuk memenangi pingat emas di Sukan Asia Hangzhou di China dari 23 September hingga 8 Oktober depan.
Kapten Speedy Tigers, Muhamad Marhan Mohd Jalil berkata, pingat emas itu amat penting bagi memastikan skuad hoki negara mengesahkan tiket awal ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Hanya yang menang saja layak ke Sukan Olimpik. Jadi, kami perlu bekerja keras dan buat yang terbaik untuk memastikan kami muncul juara.
“Sasaran utama adalah untuk menjadi juara saja, kami tidak pergi untuk menang perak atau gangsa, kami pergi hanya untuk menang emas,” katanya, ditemui pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2022, selepas skuad hoki dinobatkan sebagai Pasukan Lelaki Kebangsaan 2022 pada Isnin.
Pada majlis itu juga menyaksikan pengendali A.Arulselvaraj dinobatkan sebagai Jurulatih Lelaki Kebangsaan 2022 atas jasa mengemudi pasukan menjuarai Piala Sultan Azlan Shah dan naib juara Piala Asia, tahun lalu.
Mengulas lanjut mengenai peluang memenangi emas di Hangzhou, Marhan berkata, India dijangka menjadi pencabar utama dalam perebutan meraih gelaran juara.
“Kalau kita lihat sekarang, India antara yang kuat, mereka bermain dalam perlawanan berintensiti tinggi dalam saingan Pro League.
“Jadi, kami perlu membuat analisis bagi membaca permainan pihak lawan. Pada masa yang sama, kami juga perlu memperbaiki kelemahan dan meningkatkan kekuatan kami supaya kami dapat menewaskan pencabar kami,” katanya.
Sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia, skuad hoki negara akan menyertai saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Chennai, India dari 3 hingga 12 Ogos depan.
“Sasaran kami di Trofi Juara-Juara Asia juga adalah untuk menang kerana setiap perlawanan menawarkan mata untuk ranking dunia. Jadi, kami tidak boleh sia-siakan peluang untuk mengutip mata begitu saja,” kata Marhan.
Malaysia ketika ini berada di kedudukan ranking ke-10 dunia.