Oleh MOHD FARIQ

MUNGKIN tidak keterlaluan untuk mengatakan perkhabaran salah satu pemain yang dianggap legenda, Baddrol Bakhtiar meninggalkan Sabah FC dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia agak mengejutkan ramai pihak.

Menerusi kenyataan rasmi daripada Sabah FC semalam, penulis secara zahirnya agak terkejut dengan keputusan pemain yang cukup berpengaruh baik dalam dan luar padang itu meninggalkan kelabnya.

Namun apa yang membezakan pemergian Baddrol, 35, dalam jendela perpindahan kali ini di mana bekas kapten Kedah Darul Aman (KDA) FC itu dikhabarkan telah berpindah profesion ke gelanggang politik.

Tular di laman media sosial mendakwa Baddrol akan dinamakan sebagai calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan depan.

No photo description available.

Aksi Baddrol semasa mewakili Sabah FC.

Pertama penulis menyifatkan emansipasi milik mutlak Baddrol jika benar keputusan beliau untuk mengubah hala tujunya menjadi ahli politik daripada seorang pemain bola sepak profesional.

Secara peribadi, penulis melihat gerak langkah ini bersifatkan konservatisme sosial dan agak menarik.

Sama ada sayugia atau sebaliknya berhubung tindakan Baddrol untuk beralih ke gelanggang politik, penulis optimis beliau sudah melakukan perancangan teliti serta rapi jika benar sudah tekad untuk meninggalkan dunia bola sepak Malaysia.

Apakah keputusan Baddrol menyertai politik bersifatkan apologetik atau tidak, hanya Allah SWT dan masa yang dapat menentukannya.

No photo description available.

Apa yang pasti, kita semua harus menghormati keputusan Baddrol yang dilihat bakal mengikuti jejak langkah bekas pemain kebangsaan, Radhi Mat Din turut terlibat dalam dunia politik jika beliau bersetuju untuk dinamakan sebagai ADUN nanti.

Pun begitu penulis tidak mahu melepaskan peluang untuk merakamkan penghargaan kepada Baddrol yang memulakan kariernya pada 2006, selama ini telah banyak mewarnai Liga Malaysia selepas bersama KDA dan Sabah dengan memenangi Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan menjulang trofi Piala AFF Suzuki serta pingat emas Sukan SEA ketika mewakili negara.

Ini kerana penulis sudah turun membuat liputan ketika Baddrol beraksi bersama pasukan junior Kedah dan negara dan sudah pasti penulis sedih dengan kehilangan seorang pemain yang cukup disiplin dan bebas daripada sebarang isu.

No photo description available.

Baddrol pernah membintangi skuad Harimau Malaya dan dalam skuad yang memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 di Indonesia.

Sejujurnya penulis mahu Baddrol berkhidmat lebih lama di atas padang kerana penulis percaya pemain-pemain generasi kini memerlukan bimbingan daripada beliau dalam usaha mengangkat nilai bola sepak negara.

Namun seperti penulis katakan tadi, penulis harus menghormati keputusan Baddrol jika beliau telah tekad untuk menceburi bidang baharu – politik dan sama-sama kita mendoakan selamat maju jaya kepada Kapten Marvel ini.

Kata orang, jangan sesekali berumah di tepi pantai jika takut ombak datang melanda.

Akhir kata daripada penulis, terima kasih Badd sepanjang khidmat anda bersama kelab dan Harimau Malaya.