NAMA Tan Cheng Hoe kembali meniti bibir peminat Perak FC apabila dilihat muncul kali kedua bersama dengan beberapa individu dalam satu pertemuan yang tidak dinyatakan.
Terdahulu, bekas pengendali Kedah itu pernah kelihatan di majlis sambutan rumah terbuka Hari Raya XOX Berhad, di Kuala Lumpur pada Mei lepas.
Pada waktu itu tersebar sekeping foto di laman media sosial dia hadir bergambar bersama Pengerusi XOX, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.
Sementara itu, Gabungan Persatuan Penyokong Bolasepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) ketika dihubungi belum dapat mengesahkan kesahihan perkembangan terbaharu ini.
Namun, Setiausaha Kehormatnya, Hakimi Halim tetap menyambut baik sekiranya ia menjadi kenyataan.
“Ini sesuatu yang pastinya mengembirakan penyokong Perak.
“Ketika pasukan dalam keadaan yang amat memerlukan, sesuatu yang mampu mengubah corak permainan pasukan,” ujarnya.
Cheng Hoe bukan biasa-biasa apabila berjaya membantu Kedah memenangi Liga Premier 2015 dan Piala Malaysia 2016.
Selain Perak, Selangor FC antara kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya pada musim akan datang.