PERSEKUTUAN Bola Sepak Asean (AFF) dan rakan komersil eksklusifnya, Sportfive hari ini telah melancarkan Asean United FC – platform digital rasmi yang akan memfokuskan kepada empat kejohanan negara dan kelab yang bernaung di bawah payung AFF.

Empat kejohanan tersebut adalah Asean Mitsubishi Electric Cup 2024, Asean Club Championship Shopee Cup, Asean Women’s Championship dan Asean B-23 Championship yang semuanya akan diletakkan di bawah satu platform rasmi.

aseanutdfc.com and @aseanutdfc di seluruh laman sosial akan menjadi satu-satunya sumber rasmi atas talian untuk berita, informasi kejohanan termasuk jadual dan laporan rasmi, statistik, pemain dan pasukan, penstriman langsung serta program video eksklusif untuk penyokong.

“Kami telah bekerjasama rapat dengan rakan kongsi kami untuk membina satu platform digital untuk bola sepak Asean yang ditunjangi oleh empat kejohanan utama di bawah AFF pada 2024.

“Saluran sosial aseanutdfc.com dan @aseanutdfc yang baharu ini akan menawarkan kandungan yang menarik untuk meningkatkan pengalaman penyokong secara berterusan dengan bola sepak Asean selain boleh bergabung dalam berinteraksi sebagai lambang cintakan bola sepak Asean,” kata Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth.

Sementara itu saluran digital ini juga akan mengumpulkan ratusan ribu penyokong bola sepak seluruh Asean dan mengembangkan penggunaan platform digital di seluruh rantau melebihi siaran media tradisional.

Ini selepas lebih empat bilion tontonan video secara atas talian yang dicapai ketika Kejohanan AFF Mitsubishi Electric 2022 dan aseanutdfc.com serta @aseanutdfc dijangka akan memecahkan rekod itu sekali gus mendekatkan pengguna dengan kandungan bola sepak berkualiti sepanjang kejohanan berlangsung.