RANGKAIAN stor sukan lengkap di bawah satu bumbung, Sports Direct bersedia untuk menjadi pemasar Liga Malaysia dan berharap dapat bekerjasama dengan semua pasukan yang bertanding untuk mewujudkan ruangan lokal dalam cawangan mereka di seluruh negara.
Syarikat yang berpangkalan di United Kingdom itu juga kini melihat satu pasaran yang masih belum ditembusi iaitu bandar-bandar kedua seluruh Malaysia dan bercadang untuk melebarkan sayap mereka ke sana.
Perkara ini diakui sendiri oleh Pengarah Urusan Sports Direct Malaysia, Paul Gibbons ketika ditemui FLASH SUKAN selepas majlis sarapan pagi bersama media di Bandar Sunway pada Selasa.
“Kami akan membuka di stor di Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Terengganu, Terengganu penghujung tahun ini dan kami percaya pengguna di sana menantikan kedai mega seperti ini yang menyediakan pelbagai kelengkapan sukan di bawah satu bumbung.
“Selepas kejayaan kami di Kota Kinabalu, Sabah, kami juga melihat pengguna di bandar-bandar kedua di Malaysia sudah bersedia menerima konsep rangkaian kami dan mereka mahukan barangan terbaharu yang disediakan kedai kami.
“Pihak kami juga bersedia menjadi pemasar bagi jersi kelab-kelab yang bertanding di Liga Super kerana sedar akan kesetiaan penyokong terhadap pasukan masing-masing tetapi kami perlu berbincang dengan semua kelab terlebih dahulu kerana kami sentiasa bersikap terbuka,” katanya.
Sports Direct akan mempunyai 39 cawangan menjelang penghujung tahun ini dengan pembukaan terbaharu di Johor Bahru, Nilai, Bertam, Miri, Kota Bharu dan Kuala Terengganu serta dua stor ‘flagship’ di Kuala Lumpur dan Selangor selain turut membuka dua cawangan di Jakarta, Indonesia.