KEKALAHAN 5-0 di tangan Kawasaki Frontale di Jepun sekali gus tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara AFC musim ini pastinya mahu segera dilupakan barisan pemain dan kejurulatihan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Peluang untuk mereka melupakan kenangan pahit itu datang tepat pada waktunya apabila bakal berhadapan Sri Pahang FC untuk aksi ke-25 Liga Super di Stadium Darul Makmur pada Ahad.
Anak-anak buah Esteban Solari sudah pasti mahu kembali ke landasan kemenangan sekaligus menjadi pemangkin semangat sebelum menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Terengganu FC pada 8 Disember 2023.
Solari mempunyai kelebihan untuk melakukan penggiliran pemain dengan kesemua pemain dilaporkan dalam keadaan terbaik selain mahu mengekalkan rekod tanpa kalah di laman lawan sejak 60 perlawanan lalu.
Sementara itu di kem Sri Pahang, Tok Gajah tidak berada dalam keadaan prestasi terbaik apabila tidak menang dalam tiga perlawanan terakhir liga dengan dua kekalahan kepada PDRM FC dan Penang FC.
Sri Pahang juga akan turun tanpa tiga pemain utama, Izham Tarmizi, Azrif Nasrulhaq dan Syazwan Andik yang berstatus pinjaman daripada JDT sekaligus memberikan Harimau Selatan kelebihan di bahagian serangan.
JDT yang kini sudah menjaringkan 90 gol dalam Liga Super musim ini tidak mahu memikirkan angka 100 jaringan tetapi sudah pasti Solari akan merencanakan pasukan untuk bermain dengan corak menyerang dan tidak hanya bertahan.
Pada pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, JDT berjaya menewaskan Sri Pahang 2-0 hasil jaringan Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri dan mampukah Harimau Selatan melakukan ‘double’ ke atas Sri Pahang, pastinya satu aksi yang menarik akan disajikan kedua-dua pasukan di Kuantan.