SRI Pahang FC kini rancak memperkenalkan pemain baharu bagi musim 2024/25 dengan tiga pemain termasuk awang import sah menyertai keluarga Tok Gajah musim ini.
Pemain berkenaan adalah Hasnul Zaim, pemain kelahiran Ukraine, Mykola Ahapov dan Azfar Arif merupakan rekrut terbaru bagi musim akan datang.
Perkembangan ini diumumkan menerusi laman rasmi kelab berkenaan pada Khamis.
“Selamat datang Mykola Ahapov. Memperkenalkan pemain kelahiran Ukraine, Mykola Ahapov sebagai taruhan terbaharu barisan depan Sri Pahang.
“Pemain berusia 30 tahun ini menandatangani kontrak satu tahun bersama skuad Tok Gajah ,” katanya.
Musim 2023 menyaksikan dia beraksi buat kelab Kazakhstan, FC Akzhayik dan beraksi cemerlang menjaringkan 26 gol dan sembilan bantuan jaringan dalam 31 perlawanan sepanjang musim.
Kemasukan pemain baru seperti Mykola Ahapov mungkin dapat meningkatkan kekuatan serangan mereka, meningkatkan daya saing dalam Liga Malaysia, dan mencapai pencapaian yang lebih baik dalam pertandingan domestik.
Sementara itu, Hasnul adalah pemain pertahanan muda berusia 21 tahun, dan menyertai Sri Pahang dengan kontrak selama dua tahun.
Kehadiran Azfar Arif pula dijangka tambah kualiti di gawang Tok Gajah.
“Penjaga gol yang semakin meningkat naik kelahiran Terengganu ini telah menandatangani kontrak satu tahun bersama Sri Pahang,” katanya.