SRI Pahang FC tahun ini dilihat lebih bersedia dan mahu memadam kekecewaan musim lepas apabila pasukan kali ini dibarisi pemain yang lebih berpengalaman di bawah kendalian jurulatih Singapura, Fandi Ahmad.
Kehadiran Kpah Sherman dan Lucas Espindola yang mempunyai rekod jaringan yang mantap di Liga Super sudah pasti akan menambah sengat barisan serangan Skuad Tok Gajah selain berjaya mendapatkan khidmat beberapa pemain kebangsaan seperti Syahmie Iszuan dan Sergio Aguero.
Gandingan Aguero dan David Rowley serta Azam Azih di bahagian tengah pasti ditagih Fandi untuk merobek barisan pertahanan Negeri Sembilan yang dibarisi bekas pemain Sri Pahang, Mark Goulon.
Kehadiran empat pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim, Fadhli Shas, Syazwan Andik, Azrif Nasrulhaq dan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan menambah lagi pilihan pemain berpengalaman yang boleh mengubah corak permainan Sri Pahang.
Negeri Sembilan pula yang baharu sahaja melengkapkan pasukan dengan menandatangani lima pemain import pada saat akhir pastinya berharap dapat mengulangi pencapaian musim lalu apabila menamatkan saingan liga di tangga keempat.
Daripada lima pemain import itu, empat dari mereka, Casagrande, Goulon, Safuwan Baharudin dan Levy Madinda mempunyai pengalaman bermain di Liga Super dan dijangka tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri lebih cepat.
Pengendali NSFC, K. Devan pastinya mempunyai perancangan untuk menyekat barisan Sri Pahang dengan beberapa pemain tempatan yang mantap antaranya, Mahali Jasuli, Shahrel Fikri dan Zaquan Adha mampu melakukan kejutan dibantu sokongan sekalian yang setia di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Tok Gajah dilihat bersedia untuk memulakan liga dengan kehadiran beberapa pemain baharu dan pastinya mahu menjadikan perlawanan pertama ini sebagai medan terbaik untuk kembali memenangi hati penyokong dengan aksi yang mantap.
Skuad Jang pula dilihat masih bereksperimen dengan kesebelasan terbaik selepas kemasukan beberapa pemain baharu terutama pemain import yang pastinya memerlukan masa untuk mendapat keserasian antara pemain.
Diatas kertas, Sri Pahang dilihat tidak berhadapan masalah untuk mengutip tiga mata penuh namun rekod kebal Negeri Sembilan di Paroi bakal menjadi faktor utama keputusan perlawanan yang dijangka menarik ini.