PASUKAN Liga Super Malaysia, Sri Pahang FC memilih Singapura sebagai destinasi kem latihan pramusim dengan dua perlawanan persahabatan telah diatur bersama-sama kelab Liga Premier Singapura sebagai persiapan menghadapi musim baharu Liga Malaysia 2024-25.

Skuad kendalian Fandi Ahmad itu sudah kembali dari cuti Aidilfitri dan akan berlepas ke Kota Singa pada Isnin dengan Geylang International FC dan juara liga Singapura, Albirex Niigata menanti sebagai lawan dalam kem selama lima hari.

Fandi yang juga legenda bola sepak Singapura berharap dua aksi ini dapat membantu dirinya untuk membentuk skuad yang mantap dengan mencuba beberapa gandingan untuk mencipta keserasian antara para pemain.

Untuk musim baharu Liga Malaysia, Tok Gajah giat melakukan persiapan dengan gandingan beberapa pemain baharu dan berpengalaman serta tiga import baharu yang dibawa masuk untuk menambah kekuatan pasukan.

Antara pemain tempatan baharu yang menyertai Sri Pahang adalah Adam Nor Azlin, Sean Selvaraj, Asnan Ahmad, T Saravanan, Hasnul Zaim dan penjaga gol, Azfar Arif manakala trio import baharu adalah Mykola Ahapov dari Ukraine dan Aleksandar Cvetkovic dari Serbia selain Manuel Hidalgo yang kembali ke Kuantan.

Sri Pahang akan memulakan kempen Liga Super 2024-25 menentang Kelantan Darul Naim FC di Stadium Majlis Perbadanan Temerloh dengan tiga mata menjadi sasaran sebagai semangat buat permulaan musim.

Stadium Majlis Perbadanan Temerloh akan jadi gelanggang rasmi Sri Pahang

Tok Gajah juga akan menggunakan Stadium Majlis Perbadanan Temerloh sebagai gelanggang rasmi buat separuh musim pertama kerana menaik taraf Stadium Darul Makmur yang mengambil masa selama enam bulan.