PASUKAN Srikandi ASFC bawah 14 tahun terus mengukuhkan prestasi mereka dalam Liga Girls Power Trophy Anfield 2024.

Walaupun baru ditubuhkan tiga bulan, pasukan ini telah menunjukkan bakat dan kebolehan yang luar biasa dengan meraih tempat naib juara dalam kejohanan ini.

Kejayaan mereka tidak lepas dari sumbangan besar penjaga gol muda berbakat, Nur Qistina Sofia Erman Fahmi, yang pada usia 12 tahun telah diiktiraf sebagai penjaga gol terbaik dalam kejohanan tersebut.

Nur Qistina Sofia bersama trofi penjaga gol terbaik kejohanan yang dimenanginya.

“Satu perasaan bangga dengan pencapaian peribadi, rasa tanggungjawab yang lebih besar terhadap pasukan, serta motivasi untuk terus meningkatkan kemahiran dan prestasi dalam permainan bola sepak.

“Saya berhasrat untuk menjadi contoh teladan kepada rakan-rakan sepasukan dan bakal menjadi inspirasi kepada penjaga gol muda lain yang ingin mengejar impian mereka dalam sukan ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Skuad Srikandi ASFC ada potensi melakar jauh kejohanan jika terus diberikan ruang dan pendedahan.

Sementara itu, pengurus pasukan, Zulaiti Abdul Karim, memberikan pujian kepada pasukan yang baru dibentuk tersebut dan berharap agar mereka terus memberikan cabaran yang kuat kepada pasukan lawan dalam Liga Puteri anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang akan berlangsung pada bulan April.

Liga Puteri adalah antara usaha sebagai  inisiatif untuk memperkasakan lagi bola sepak wanita di peringkat akar umbi dan belia.

“Dengan prestasi cemerlang yang mereka tunjukkan, saya yakin pasukan Srikandi ASFC mempunyai potensi yang besar untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena bolasepak wanita tempatan.

“Mereka perlu terus berlatih dengan gigih dan mempertahankan semangat juang yang telah mereka tunjukkan sepanjang kejohanan ini,” ujarnya.

Zulaiti (tengah) percaya Srikandi ASFC  boleh hadirkan cabaran sengit di Liga Puteri anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia.

Prestasi cemerlang pasukan Srikandi ASFC dalam mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena bola sepak wanita tempatan adalah bahawa mereka sedang menunjukkan potensi yang besar.

Ianya memberikan gambaran yang positif tentang kemampuan pasukan dalam saingan tempatan, menandakan peningkatan prestasi dan keupayaan mereka.

Dengan kejayaan ini juga, Srikandi ASFC mungkin menjadi satu pasukan yang perlu diambil kira dalam saingan bola sepak wanita tempatan, dan mereka mungkin mampu mencapai kejayaan yang lebih besar dalam masa akan datang.