KEHEBATAN srikandi tuan rumah semakin terserlah pada kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak (SPISC) 2023 yang memasuki hari ketiga di Stadium Perpaduan Petra Jaya pada Khamis.

Pada sesi pagi, tiga atlet Sarawak berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir menerusi kejayaan Azizy Arbi dalam kategori Solo Kreatif Putra senior, Zureen Zulyka Zaidel (Tunggal Baku Putri senior) dan juga menerusi Nur Inatha Khairuniyah Wira yang beraksi dalam kategori Solo Kreatif Putri.

Azizy menewaskan rakan sepasukannya, Mohammad Shamiezal Shapian di suku akhir dengan meraih 9.840 mata. Walaupun berdepan dengan rakan sepasukannya, Azizy tetap mempamerkan persembahan yang mengagumkan untuk mara ke pusingan separuh akhir.

Rentak kemenangan kem silat Sarawak diteruskan menerusi Zureen Zulyka Zaidel dalam kategori Tunggal Baku Putri senior. Zureen menghampakan pencabarnya, Hananzohira Harif dari Angkatan Tentera Malaysia dengan pungutan mata 9.9 berbalas 9.39 sekali gus sekali gus menempatkan diri ke pusingan separuh akhir.

“Dengan persediaan yang rapi, saya memasang impian untuk beraksi di peringkat akhir namun saya tetap gembira dengan persembahan yang telah saya tunjukkan pada pagi ini,” katanya.

 

Azizy menewaskan rakan sepasukannya, Mohammad Shamiezal Shapian di suku akhir dengan meraih 9.840 mata.

Turut menceriakan kem silat Sarawak di Arena 2, pesilat Sarawak, Nur Inatha Kharuniyah juga berjaya melangkah ke pusingan separuh akhir selepas menundukkan Nur Sofea Nadillah dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pesilat negara, Muhammad Khairul Shaddad Ardi menepati ramalan apabila mengesahkan tempatnya ke separuh akhir acara Tunggal Baku Putra senior.

Begitupun, Khairul yang pernah meraih pingat gangsa acara seni ketika Sarawak menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) pada 2016 lalu, tetap diberi tentangan sengit oleh lawannya dari Brunei Darussalam, Muhammad Ali Saifullah Muhad Suhaimi yang turut memperagakan gerakan-gerakan yang kemas dan tangkas.