PENYOKONG-penyokong yang hadir untuk menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) selepas ini akan mengalami pengalaman baharu untuk masuk ke stadium serba canggih.

Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal memperkenalkan sistem kawalan kemasukan penyokong yang termoden di Malaysia selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah menjalinkan satu kerjasama dengan syarikat HID Global berpangkalan di Amerika Syarikat, yang menerajui organisasi pengurusan kawalan akses yang dilaporkan bernilai jutaan Ringgit Malaysia.

Perkara tersebut dikongsi menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab yang turut menyatakan syarikat antarabangsa ini mempunyai pengalaman mengawal pergerakan masuk penyokong di tiga Piala Dunia Fifa iaitu di Brazil, Russia dan Qatar.


“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menjalinkan satu kerjasama dengan HID Global bernilai jutaan Ringgit sejurus perbincangan antara DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan syarikat tersebut di Dubai.

“HID Global adalah peneraju organisasi pengurusan kawalan akses yang telah terlibat dalam tiga kejohanan Piala Dunia terakhir dan beberapa acara benua di seluruh dunia. Sebagai permulaan, kepakaran yang ada pada HID Global akan digunakan di ‘turnstiles’ untuk kemasukan penyokong ke Stadium Sultan Ibrahim.

“Kerjasama ini juga bagi memastikan ‘Home of Southern Tigers’ menjadi venue pertama di Malaysia yang menggunakan sistem yang sudah dikenali di peringkat antarabangsa ini untuk akses para penyokong.

“JDT juga akan dapat memperolehi lebih banyak informasi mengenai corak kemasukan penyokong untuk membolehkan perkhidmatan yang lebih selesa bagi para penyokong dan memberikan data yang berharga buat kelab untuk digunakan dalam membuat keputusan di masa akan datang. Selain itu, sistem ini juga dapat mengelakkan berlakunya pemalsuan atau duplikasi tiket dengan lebih baik,” tulis hantaran itu.

Dengan adanya sistem canggih ini, para penyokong dijangka akan merasai pengalaman berbeza untuk masuk ke stadium selepas ini dan masalah tiket palsu dan ulat tiket semestinya dapat dihapuskan sekaligus memberikan kepuasan menonton yang maksima kepada para penyokong.

Kunjungan JDT ke Dubai bukan semata-mata untuk kempen pra musim tetapi juga membawa pulang beberapa penambahbaikan di stadium bagi memastikan keselesaan penyokong yang hadir.