SSL Team Malaysia melakar kejutan untuk menjadi satu-satunya wakil dari Asia yang menghampiri misi ke suku akhir Piala Emas Star Sailors League (SSL) di Gran Canaria, Sepanyol, dalam pertandingan yang diisytihar sebagai Piala Dunia pelayaran.

Malaysia yang diwakili oleh pasukan keelboat kebangsaan bergelar the Monsoon, mara ke pusingan ketiga penyingkiran 1/16 apabila menduduki tangga kedua di belakang Chile dalam Kumpulan 1 selepas empat hari membelah ombak laut Atlantik Utara dan melawan angin Kepulauan Canary.

Terdahulu Malaysia layak ke pusingan kedua penyingkiran selepas menjuarai Kumpulan 3 yang disertai Bermuda, Antigua and Barbuda serta Ukraine.

Untuk pusingan penyingkiran 1/8 bermula 21 November, pasukan negara akan beradu kekuatan dengan Argentina dan Amerika Syarikat – dua negara daripada kelompok 9-16 dalam ranking SSL – selain Hungary.

Sejak awal, The Monsoon diketuai oleh Khairulnizam Mohd Affendy sebagai kemudi, dibantu jurutaktik, Nur Shazrin Mohamad Latif, bersama Ahmad Faizul Aswad Mohamed (Grinder), Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri (Trimmer), Ahmad Syukri Abdul Aziz (Offside Trimmer), Mohd Azhar Sadon Zubir (Pitman), Uzair Amin Mohd Yusof (Mainsail Trimmer), Mohd Akiyuddin Mat Zaki (Bowman), Asri Azman (Floater), Mohd Amsyar Syahmi Mohd Ajwi (Spare Trimmer) dan Ahmad Khairulhafiz Mohd Khambali (Spare Floater).

Bagaimanapun, ketua pasukan, Megat Danial Megat Najmuddin, berkata perubahan terpaksa dibuat menjelang perlumbaan seterusnya disebabkan dua anggota pasukan pulang ke Malaysia atas sebab berbeza.

Asri dikehendaki membantu persiapan pasukan pelapis menjelang Kejohanan Pelayaran Asia di Pattaya bulan depan, manakala isteri Ahmad Syukri dijadual bersalin tidak lama lagi.

“Sesungguhnya setiap anggota team kami melakukan pelbagai pengorbanan untuk bertanding di sini. Kami puas menjadi satu-satunya pasukan dari Asia melangkah sejauh ini tetapi kami berharap dapat meneruskan cabaran ke peringkat suku akhir,” kata Megat Danial.

Pelayar spare floater, Khairulhafiz, akan menggantikan Ahmad Syukri sebagai offside trimmer manakala Mohd Saifullah Mohd Esa (bowman) dan Rizal Mahadi Sazili (spare floater) dipanggil menyertai pasukan sebagai pelayar gantian.

Sebagai antara 16 negara di ranking terbawah, Malaysia bersaing pada pusingan pertama penyingkiran 1/32 pada 10-13 November lalu dan berjaya meneruskan cabaran bersama-sama Bermuda, Estonia, Lithuania, Portugal, Slovenia, Afrika Selaan dan Tahiti. Chile dan Antigua & Barbuda pula diberi slot Pasukan Tewas Bertuah atau ‘Lucky Loser’, yang melayakkan mereka ke pusingan kedua penyingkiran 1/16 dari 16-19 November lalu.