KEJOHANAN Super Schools Rugby Malaysia (SSR) 2024 kini berada di kemuncak apabila perlawanan Grand Final akan berlangsung Ahad ini.
Perlawanan Grand Final untuk tahun ini menemukan Maktab Sultan Abu Bakar (EC) dan bekas juara, SMS Hulu Selangor (SEMASHUR) dalam satu pertembungan kemuncak yang mendebarkan.
Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, yang dikenali sebagai English College dengan gelaran EC Steenboks, menunjukkan prestasi yang luar biasa, terutama dalam era pasca COVID-19.
Di bawah bimbingan ketua jurulatih Abdul Hanis Mokhtar, EC telah mempamerkan mutu permainan ragbi yang tangkas dan cekap. Musim ini, mereka telah menjadi kuasa besar yang digeruni dan kini berada di ambang kejuaraan SSR sulung mereka.
Kapten pasukan EC, Mohamad Shahrul Aizam bin Muhammad Daud memainkan peranan penting dalam mengatur serangan berorientasikan backline mereka.
Melengkapkan kepimpinan Shahrul adalah kepantasan Muhamad Akif Daniel, yang memukau dengan enam try musim ini. Dia hanya ketinggalan satu try di belakang pendahulu semasa, Asyraf Danish dari SMK Abi, dalam perlumbaan untuk anugerah Penjaring Try Terbanyak.
Bagi SEMASHUR, sebagai salah satu daripada enam pasukan pengasas yang sebelum ini dikenali sebagai Malaysia Super Six Schools 15s, legasi SEMASHUR dalam sukan ragbi peringkat sekolah adalah tidak asing lagi.
Perlawanan akhir pada tahun ini adalah satu peluang bagi menebus kegagalan sebelum ini. The Zealords, yang kali terakhir menjulang kejuaraan SSR pada 2019, membuat penampilan Grand Final yang kedua berturut-turut selepas tewas menentang Victoria Institution tahun lalu.
Ketua jurulatih SEMASHUR, Mohd Soleh Abd Hamid telah menerapkan mentaliti juara dalam skuad beliau, yang telah terbukti menerusi permainan bijak dan lincah mereka sepanjang kejohanan.
Kapten pasukan, Uzair Hani Shaha Bahar memimpin menerusi teladan dengan catatan lima try setakat ini. Sementara itu, Roshan Arivananthan muncul sebagai salah seorang pemain yang paling menyerlah dalam kejohanan, bukan sahaja kerana kepantasannya malah menerusi ketepatannya dalam sepakan.
Roshan kini mendahului carta penjaring terbanyak dengan 66 mata dan akan menjadi watak penting dalam usaha SEMASHUR untuk kemenangan.
Perlawanan Grand Final diantara English College dan SEMASHUR akan berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam pada pukul 4 petang Ahad ini.