KERANCAKAN Super Schools Rugby 2024 (SSR) berterusan dengan aksi pusingan ‘Wildcard’ yang bakal berlangsung pada 16 hingga 19 Julai ini.

Perlawanan penting ini bakal menyaksikan lapan pasukan yang berada di tempat kedua dan ketiga dalam setiap kumpulan bakal berentap merebut tiket ke pusingan suku akhir.

Menanti pemenang setiap perlawanan adalah empat pasukan yang muncul pemenang peringkat kumpulan.

Perlawanan pertama melibatkan SBPI Gombak (INTERGOMB) menentang Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR Ipoh).

Pasukan STAR Ipoh dan SMSS sedang beraksi

INTERGOMB mengejutkan ramai pihak selepas menewaskan pasukan gergasi Maktab Tentera Diraja (RMC) dalam aksi peringkat kumpulan, kini terus melakar sejarah menerusi penampilan pusingan kalah mati dalam musim sulung.

Kejayaan menduduki tempat kedua dalam kumpulan D yang turut menampilkan juara dua kali Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) merupakan satu pencapaian yang membanggakan bagi skuad ‘The Titans’.

Pasukan STAR pula bakal bertandang ke kubu lawan selepas berjaya mengesahkan kelayakan ke peringkat kalah mati pada saat akhir setelah menamatkan aksi Kumpulan C dikedudukan ketiga. Pemenang perlawanan ini bakal berdepan cabaran getir juara bertahan Victoria Institution (VI) yang mara ke suku akhir setelah menjuarai kumpulan B.

Selain itu, perseteruan ragbi Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan apabila SMS Selangor akan melayani kunjungan Maktab Tentera Diraja (RMC).

Pasukan SDAR dan MRSM Balik Pulau beraksi dalam perlawanan pool D

Momentum seharusnya bersama SMSS yang ternyata tampil lebih bersedia musim ini berdasarkan keputusan memberangsangkan dalam Kumpulan C, termasuk kemenangan sulung dalam sejarah SSR ke atas STAR di Ipoh.

Sementara itu, menanti RMC dipusingan suku akhir adalah Maktab Sultan Abu Bakar (EC) – pasukan yang mereka kejutkan pada musim lalu untuk mara ke separuh akhir.

Walau bagaimanapun, peningkatan mutu permainan adalah penting bagi RMC sekiranya mereka mahu mengulangi pencapaian musim lalu.

 

Berikut merupakan jadual perlawanan Super Schools Rugby 2024 Pusingan Wildcard:-

SBPI Gombak lwn Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Selasa 16 Julai 2024 | 4 petang | SBPI Gombak

SMS Selangor lwn Maktab Tentera Diraja, Rabu 17 Julai 2024 | 4 petang | SMS Selangor, Cheras

SMK King Edward VII lwn Sekolah Dato Abdul Razak, Khamis 18 Julai 2024 | 5 petang | SMK King Edward VII, Taiping

MRSM Balik Pulau lwn SMK Abi, Jumaat 19 Julai 2024 | 5 petang | MRSM Balik Pulau