SEKOLAH Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) berjaya merangkul kejohanan Super Schools Rugby (SSR) 2024 selepas berjaya menumpaskan Maktab Sultan Abu Bakar (English College) dalam perlawanan akhir dengan keputusan 41-31.

Sebanyak enam try yang dibuat oleh pasukan SEMASHUR (2x Uzair Hani, 2x Muhammad Danish Mikhail, Roshan Arivananthan, Khairul Zarif Naim) serta empat conversion dan satu penalti diambil oleh Roshan Arivananthan berjaya memastikan sekolah dari Hulu Selangor itu membawa pulang piala kejohanan serta wang tunai sebanyak RM 15,000.

Perlawanan akhir ini begitu penting buat SEMASHUR untuk menebus kekecewaan sebelum ini. Pasukan itu muncul naib juara selepas tumpas kepada Victoria Institution bagi edisi tahun lalu.

English College (EC) pula menunjukkan prestasi yang luar biasa serta mempamerkan mutu permainan ragbi yang tangkas dan cekap. Prestasi yang ditunjukkan musim ini telah menjadikan mereka sebagai kuasa besar ragbi yang digeruni.

Kedua-dua pasukan itu menunjukkan aksi yang bertenaga sepanjang perlawanan yang berlangsung petang tadi di Stadium UiTM Shah Alam.

Penerima Award Winner dari kiri: Uziar Hani (SEMASHUR), Jibril Zidane (SEMASHUR), Syahrul Aizam (EC), Roshan Arivananthan (SEMASHUR) dan Ashraf Danish (SMK Abi)

Pasukan EC memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila mendahului babak pertama dengan 19-0 pada minit ke-20.

SEMASHUR yang kebuntuan pada 20 minit yang pertama kembali bangkit pada penghujung babak pertama untuk merapatkan jurang skor 19-17.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan memperbaiki corak permainan mereka, dengan tries yang berjaya dilakukan oleh kedua-dua pasukan itu.

Ini merupakan kejuaraan SSR yang kedua buat SEMASHUR selepas kali terakhir memenanginya pada 2019

Kesilapan mudah yang dilakukan oleh EC pada minit ke-47 membolehkan SEMASHUR untuk meluaskan jurang skor ketika itu 26-34.

Beberapa tries daripada SEMASHUR selepas insiden itu membunuh semangat EC untuk kembali semula dalam permainan, keputusan masa penuh menyaksikan SEMASHUR berjaya tumpaskan EC 41-31.

Ini merupakan kejuaraan kedua SSR buat SEMASHUR selepas kali terakhir menjuarainya pada tahun 2019.