KEJOHANAN Super School Rugby (SSR) 2024 kini telah sampai ke fasa penghujung kempen, dengan empat buah pasukan sekolah berjaya melayakkan diri ke separuh akhir bagi divisyen akademi.
Empat buah pasukan yang berjaya ke separuh akhir ialah Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), Sekolah Tinggi Batu Pahat (HSBP) dan Akademi Ragbi Selangor (ARAS).
SSTMI Tsunami Rugby Team akan bertemu HSBP bagi separuh akhir pertama pada 6 Julai manakala SSMP akan bertemu ARAS bagi separuh akhir kedua pada 7 Julai.
SSTMI yang dikendalikan oleh bekas kapten pasukan ragbi negara, Syahir Asyraf Rosli dan beliau yakin bahawa pasukannya mampu untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir.
“Kami yakin mampu melangkah ke pusingan seterusnya kerana barisan pemain menampilkan semangat juang tinggi dan mempunyai mentaliti kuat.
“Walaupun ini kali pertama barisan pemain menyertai kejohanan 15 sebelah ini dalam tempoh empat tahun namun ia mampu untuk memberi pengalaman berharga kepada mereka pada kejohanan akan datang,” katanya.
Kesemua perlawanan separuh akhir akan berlangsung di UM Arena, Kuala Lumpur pada jam 4 petang.