SEKOLAH Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) menjadi pasukan sekolah pertama yang berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Super School Rugby (SSR) 2024.

Ini selepas mereka berjaya menewaskan pasukan sekolah dari Johor, High School Batu Pahat (HSBP) dalam perlawanan separuh akhir pertama semalam.

Anak buah Syahir Asyraf Rosli melakar kemenangan dengan keputusan 30-3 untuk mengesah tiket ke perlawanan akhir.

HSBP bermula dengan langkah kanan apabila memperoleh mata pertama perlawanan menerusi sepakan penalti oleh Md Aqil Zaidi seawal minit ke-5.

Arieq Anqi Anuar bersiap sedia untuk mengambil sepakan penalti untuk SSTMI

SSTMI kembali bangkit dua minit kemudian apabila Rifqi Iskandar Zailani melakukan try untuk meletakkan pasukannya dihadapan.

SSTMI tidak lagi menoleh kebelakang apabila mereka mendominasi perlawanan, dengan mata berjaya dikutip oleh Md Iman Md Shaeiful (try), Najmi Nadzrin Johari (2 try) dan Arieq Anaqi Anuar (2 pen, 2 conversion).

Menurut jurulatih SSTMI Syahir Asyraf Rosli, walaupun barisan anak buahnya mengharungi minggu memenatkan dengan jadual perlawanan yang padat namun beliau gembira dengan keputusan positif pada pertemuan ini.

Ketua Jurulatih SSTMI, Syahir Asyraf Rosli bersama barisan kejurulatihan yang lain

“Kami mempunyai hanya tempoh dua hari rehat kerana kami bermain dalam kejohanan lain pada awal minggu lalu berbanding lawan yang boleh melakukan persiapan rapi kerana tidak menyertai sebarang perlawanan atau kejohanan selama dua minggu.

“Namun saya gembira dengan apa yang ditonjolkan oleh pemain saya sepanjang perlawanan tadi (semalam),” katanya.

SSTMI akan menunggu kehadiran samada Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) atau Akademi Ragbi Selangor (ARAS) untuk perlawanan akhir kelak.