SAINGAN liga bola tampar Sooka Super Series Volleyball (SSSVB) 2022 melabuhkan tirai dengan penuh gilang gemilang yang menyaksikan pasukan Selangor Lion dinobat sebagai juara kejohanan.

Menggunakan konsep sukan dan hiburan, SSSVB 2022, malam perlawanan akhir saingan itu berlangsung penuh kemeriahan.

Aksi mendebarkan perlawanan akhir antara Selangor Lion dan Sabah Rhino cukup mendebarkan.

Selangor Lion yang sememangnya pilihan untuk merangkul kejuaraan, menang set pertama 25-22.

Sabah Rhino cuba bangkit dalam dua set berikutnya, namun Selangor bijak dengan taktikal lalu mencapai kemenangan 27-25, 26-24.

Selangor Lion menjulang liberonya selepas kemenangan ke atas Sabah Rhino disahkan.

Hasil kemenangan itu, Selangor Lion membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 berserta medal dan trofi.

Sementara Sabah Rhino pula membawa pulang hadiah wang tunai RM13,000.

Melaka Mousedeer yang muncul pemenang tempat ketiga selepas menundukkan Amelia Indonesia 25-18, 25-20,-25-9 membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000.

Hadiah disampaikan Bendahari Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Chief De Mission (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali.

Setiap pemain yang memenangi kategori ‘Best Setter, Best Uotside Spiker, Best Opposite Spiker, Best Middle Blocker dan Best Libero’ membawa pulang RM500 manakala ‘Most Valuable Player‘ memenangi RM1,000.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cik Suryati Mohd Noor menyampaikan hadiah Best Middle Blocker kepada pemain Selangor Lion Sim Jiaan Qin.

Hadiah bagi kategori anugerah individu ini disampaikan barisan penaja termasuk FLASH SUKAN yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suryati Mohd Noor.

Sebelum aksi final, Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam dipenuhi penyokong Selangor Lion dan Sabah Rhino, dihidangkan dengan persembahan artis seperti De FAM, Aisha Retno serta DOLLA, yang menghangatkan suasana.

Aisha Retno, De FAM dan DOLLA antara artis yang membuat persembahan pada final SSSVB

Ketua Rancangan SOOKA, Emarina Kamal berkata, saingan SSSVB mencapai berjaya yang dimahukan dan beliau yakin sukan bola tampar mula mendapat perhatian daripada masyarakat.

“Dewan ini hanya mampu memuatkan 800 orang dan malam ini kita dapat lihat ia dipenuhi peminat. Kita pasti anjurkan lagi di tahun akan datang di venue yang lebih besar, kerana tiket untuk final ini habis terjual dan ramai lagi yang ingin masuk ke dewan untuk menonton perlawanan akhir.

Ketua Rancangan SOOKA, Emarina Kamal mahu anjur lagi SSSVB tahun hadapan.

“Pada edisi akan datang, kita akan kekalkan format ini tapi mungkin akan mengkaji berapa jumlah pasukan yang bertanding dan kita percaya akan menerima lebih banyak penyertaan dan mungkin saingan akan mengambil masa sehingga dua bulan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nasir menyifatkan pendekatan diambil penaja menggabungkan elemen sukan dengan hiburan sangat bersesuaian.

“Saya rasa pendekatan sebegini lebih dengan dengan masyarakat dan lebih mudah menarik perhatian sekali gus mewujudkan minat dalam kalangan anak muda,” katanya.