SKUAD SSTMI Thunderbolts dan SSBJ Thunderbolts berjaya menempah kemaraan mereka di pentas Final Piala TNB, TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2024 selepas menutup aksi separuh akhir Piala TNB yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, pada Khamis dengan kemenangan.

Juara bertahan SSTMI Thunderbolts menidakkan kehebatan pasukan lawan, Anderson Thunderbolts pada aksi separuh akhir hari dengan keputusan 4-1 menerusi dua gol padang (Mohamad Syazwan Mohd Shamsul dan Ahmad Fauzi Solleh) dan dua gol pukulan sudut penalti (Darwisy Hamdan dan Jebat Aiman Mohd Jeffri).

Pengendali SSTMI Thunderbolts, Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahmat sempat menzahirkan rasa syukur di atas kejayaan anak buahnya yang berjaya ke final dan selangkah untuk mengekalkan kejuaraan sambil berharap pemain kekal fokus hingga tamat perlawanan akhir.

Kedua-dua pasukan berjaya mara ke pentas akhir TNB MJHL.

“Apa yang kami lihat, lawan kami di pentas final, SSBJ Thunderbolts telah menunjukkan banyak peningkatan dalam pusingan kalah mati ini.

“Saya mengharapkan pemain-pemain tidak mudah leka dalam serta melakukan kesilapan-kesilapan mudah dalam perlawanan akhir nanti. Kesilapan dan kelekaan akan mengundang padah dan saya berharap perkara tersebut tidak akan berlaku,” jelasnya selepas tamat perlawanan.

Sementara itu jaringan pendahuluan menerusi gerakan padang Raahul Fazrien Muhammad Nazren dan gol Naaveennash Panicker sudah cukup untuk memastikan kemaraan SSBJ Thunderbolts mengiringi SSTMI Thunderbolts ke final.

Kali terakhir kedua-dua pasukan ini bertemu di final Piala TNB adalah pada tahun 2021 dan final edisi 2024 ini pastinya lebih menarik apabila SSTMI Thunderbolts turun dengan misi untuk mempertahankan kejuaraan sementara SSBJ Thunderbolts mahu membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini.