FOTO : IG captain_piya16


BEKAS
pemain kebangsaan, Mohd. Badhri Radzi atau Piya memuji keadaan padang di Stadium Sultan Ibrahim yang disifatkannya sangat berkualiti untuk perlawanan di peringkat antarabangsa.

Badhri hadir ke stadium berkenaan petang Selasa menyaksikan perlawanan terakhir saingan kumpulan I Liga Juara-Juara pasukan Johor Darul Ta’zim menentang BG Pathum.

Nok suasano stadium JDT. Meme world class ,” kata bekas kapten berpengaruh skuad Kelantan itu.

Piya dianggap antara tonggak terbaik pasukan Che Siti Wan Kembang ketika membantu merangkul kejuaraan ‘treble’ pada 2012.

Anak jati Kelantan itu boleh dikatakan sering menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan apabila hantarannya cukup berbisa hingga menjadi tunjang kepada kemenangan pasukan terbabit.

Malah, kehebatan pemain yang beraksi di bahagian tengah itu sehingga kini menjadi bualan apabila dia bertindak sebagai ‘mastermind’ pasukan dalam merencanakan serangan seterusnya membantu mencipta keputusan positif.

Stadium Sultan Ibrahim bernilai RM200 juta di Iskandar Puteri telah mendapat pengiktirafan global selepas menewaskan 19 stadium lain di seluruh dunia sebagai ‘Stadium Of The Year 2020’ dalam undian awam yang dikendalikan laman web StadiumDB.com berpangkalan di Poland.

Terletak di kawasan seluas 11.3 hektar, yang juga menempatkan ibu pejabat JDT, Stadium Sultan Ibrahim satu-satunya stadium bola sepak di negara ini yang menggunakan rumput asli Zeon Zoysia, mempunyai sistem pengairan yang mampu mengelak daripada air bertakung di atas padang.

Mampu menampung lebih 35,000 penonton, stadium itu juga dilengkapi dengan lampu sorot LED yang moden serta lampu bangunan pelbagai ritma dan warna.